Bagaimana Fara Rashid dan 3 kawannya jadi 'pontianak'


Zainal Rashid Ahmad

FARA Rashid lulusan Diploma Pengurusan Pelancongan di kolej berdekatan Taman Shamelin, Cheras. Sejak semester pertama, gadis berusia 21 tahun kelahiran Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur ini bekerja pada setiap hujung minggu.

Dunia kerjanya agak unik. Dia bersama tiga rakan baiknya mendaftar di banquet pelbagai hotel utama sekitar Kuala Lumpur. Malah, sampai ke Petaling Jaya.

“Kami jadi pelayan banquet untuk jamuan-jamuan besar pada hujung minggu. Gaji hari sekitar RM80 hingga RM120. Makan dua kali disediakan dan kalau kerja lebih lapan jam ada elaun sikit,” katanya.

Cuti hujung minggu ialah hari mencari wang saku. Gadis ini dan tiga rakannya sangat mandiri mencari wang belanja harian belajar di kolej.

“Ayah kena tanggung bayar baki yuran semester kerana saya hanya menerima 75% pinjaman PTPTN. Jadi, ayah kena tambah RM1,000 hingga RM1,400 selama tujuh semester,” katanya.

Ayahnya bekerja sebagai kontraktor pendawaian elektrik. Fara memilih mandiri kerana dua abang dan empat adiknya juga masih belajar.

Pekerjaan hujung minggu sebagai pelayan banquet banyak cabaran. Ia bukan pekerjaan yang ada jaminan diterima kerana saingan sangat besar.

“Konsepnya, siapa datang dulu dia dapat kerja. Selalunya hanya sekitar 40 ke 60 orang diperlukan. Sedangkan yang datang hampir 100 orang,” katanya.

Kalau sesi jamuan tengahari, Fara dan tiga temannya akan bangun seawal 5 pagi pada hujung minggu. Tepat 6 pagi, mereka sudah menempah kenderaan e-hailling dan berangkat ke hotel yang disasarkan.

“Kami kena tiba sekitar 6.45 pagi bagi mendapatkan kerja berdasarkan ‘first come first serve’,” katanya.

Walaupun kerja hanya bermula pada 10 pagi pagi, tiba tiga jam lebih awal sangat penting untuk mendaftar dalam senarai pertama.

“Selalunya kalau sampai 6.45 pagi, peluang diterima sebagai 40 pekerja terawal agak cerah. Kami berusaha sebab RM80 gaji sehari sangat besar ertinya untuk belanja belajar,” katanya.

“Ada kisah sedih?” Tanya saya.

Fara terdiam. Wajahnya memikirkan sesuatu.

“Ada,” jawabnya: “Ada sekali kami berempat sampai jam 7.30 pagi di hotel Kelana Jaya. Waktu kami tiba, hanya ada dua kerja yang masih kosong,” katanya.

Fara makin mengerutkan dahi. Nampak cuba mengingati sesuatu yang sukar.

“Kami utamakan dua kawan yang lebih susah. Mereka anak penoreh getah dan buruh di Pahang. Tak apalah, kami dulukan dua kawan yang susah. Mereka perlukan wang belanja,” katanya.

Rezeki selalu ada kalau rajin berusaha. Itu kepercayaan Fara. Ketika termenung kerana gagal mendapat kerja, seorang kenalan menelefon:

“Kau nak jadi hantu tak?” Tanya pemanggil telefon.

Sejak itu, peluang pilihan kerja hujung minggu bertambah. Fara bersama rakannya yang gagal yang dapat kerja di Kelana Jaya segera menempah e-hailing dan terus Sunway Subang Jaya. Kerja yang unik; menjadi pontianak dalam rumah hantu taman tema.

“Kerja mudah. Bersolek dan memakai kostium menakutkan dan menyergah pengunjung yang masuk ke rumah hantu,” katanya sambil ketawa kuat.

Sejak itu, Fara dan tiga kawannya memiliki lebih banyak peluang kerja pada hujung minggu. Gaji pelayan dan upah menjadi hantu sama saja. Sekitar RM100 untuk sembilan jam kerja.

“Cuma jadi hantu lebih seronok. Mengusik orang dalam gelap sambil hilangkan stres belajar,” katanya.

Fara dan tiga rakannya tamat belajar pada Oktober 2018. Cuma, majlis graduasi akan diadakan hujung tahun ini.

“Kolej adakan dua sesi graduasi dalam setahun untuk kurangkan kos. Agak lama kami kena tunggu peluang memiliki segulung diploma,” katanya.

Empat dara pingitan terus bekerja

Selepas tamat belajar dan belum graduasi, Fara dan tiga rakannya terus bekerja. Kali ini lebih agresif kerana mereka punya tujuh hari peluang mencari wang.

“Saya pernah dapat kerja pelayan di kafe terkenal. Tapi hanya sempat sebulan gaji. Kafe kurangkan staf kerana masalah pendapatan merudum akibat keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

“Dua kawan saya yang asal Pahang bernasib baik sebab diterima sebagai pelayan tetap pada Sabtu dan Ahad di dewan katering terkenal di Jalan Semarak. Gaji RM100 sehari.”

Dengan pendapatan RM800 sebulan sebagai pelayan majlis jamuan, dua rakan Fara turut melakukan pelbagai perkerjaan lain pada Isnin hingga Jumaat.

“Ada masa mereka buat kek, ada tempahan di Facebook. Mereka menumpang di rumah kawan kami yang seorang lagi,” katanya.

“Kawan saya pernah dapat kerja di kedai serbaneka 24 jam di Dwitasik Sri Permaisuri. Dia berhenti sebab dua kali kedai kena samun dalam tempoh seminggu,” katanya.

Penyamun remaja bawa parang dan menyamun wang, minuman keras dan rokok. Selain mencabul rakannya. Sejak itu mereka takut bekerja di kedai serbaneka 24 jam. Begitu juga sebagai pelayan kaunter di hotel-hotel kecil.

“Syif malam sendirian di kaunter. Aneh, hotel tak mau sediakan pengawal keselamatan. Kalau kena samun, kita gadis pun jadi mangsa rogol,” katanya.

Kehidupan empat dara pingitan di kota Kuala Lumpur ini tidak mudah. Mereka berusaha mencari apa saja kerja yang mendatangkan pendapatan.

Walaupun pekerjaan tetap sukar diperolehi, pelbagai kerja ‘partime’ masih menjadi sumber rezeki.

“Baru-baru ini jenama kasut sukan terkenal melancarkan model edisi terhad. Kami diminta bekerja 24 jam dengan gaji RM250 sehari kerana menjaga seribu pasang kasut edisi khas yang ditempah atas talian,” katanya.

Tugas mereka ialah menyerahkan kasut yang tepat model dan saiznya kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan awal.

“Sangat meletihkan 24 jam di butik dengan pelanggan yang datang mengambil tempahan silih berganti. Harus teliti supaya saiz dan warna yang diserahkan tepat pada penempahnya. Tetapi upah RM250 sehari satu pendapatan besar buat kami,” katanya.

Keempat-empat gadis ini terus agresif mencari kerja. Namun, dengan kelulusan bidang pelancongan, pada era kemuncupan ekonomi, peluang mendapat pekerjaan tetap masih satu mimpi.

“Kami masih OK dengan kerja pelayan hidangan, jadi hantu, penunggu butik dan membuat kek. Kami juga sekarang buka ‘car boot sales’ seminggu sekali di Bukit Jalil,” katanya.

“Kamu jual apa?” Tanya saya.

“Kami cari pakaian-pakaian mewah yang orang kaya dah tak nak pakai. Kami tolong jualkan. Kami ambil 30% komisen,” katanya.

Sejam setengah mendengar kisah perjuangan gadis berempat ini memberikan aspirasi. Tiap dekad ada cabaran. Hanya yang tegar dan nekad sahaja akan tampil sebagai pemenang.

Tahniah pada anak-anak muda yang berusaha. Anda membuktikan - berusaha jauh lebih baik dari membebel dan mengomel di Facebook dengan status “meroyan dan sakit jiwa”. – 9 Oktober, 2019

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen