Jurang pendapatan kaya dan miskin melebar 10 kali ganda dalam 2 dekad


Sheridan Mahavera

Pada 1989, purata jurang pendapatan antara isi rumah B40 dengaan keluarga T20 ialah RM1,935 sebulan tetapi melonjak 10 kali ganda kepada RM10,148 sebulan pada 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

JURANG pendapatan semakin melebar antara golongan kaya dan miskin sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh 20 tahun.

Pada 1989, purata jurang pendapatan antara isi rumah B40 dengaan keluarga T20 ialah RM1,935 sebulan. Pada 2016, jurang itu melonjak 10 kali ganda kepada RM10,148 sebulan.

Perbezaan ketara ini adalah contoh ketidaksamaan yang semakin meluas dalam masyarakat Malaysia yang memacu kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen KL di Kuala Lumpur, hari ini.

Menangani ketidaksamaan - antara golongan kaya dan miskin, kawasan luar bandar dan bandar dan antara kumpulan etnik - menjadi teras utama WKB2030, rancangan ekonomi 10 tahun PH.

Dalam slaid yang dikeluarkan kepada media, Putrajaya berkata sejak 23 tahun lalu, perbezaan pendapatan antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera juga semakin melebar.

Pada 1989, perbezaan median pendapatan sebuah keluarga Cina dan Bumiputera ialah RM497 sebulan.

Pada 2016, perbezaan itu adalah RM1,736 sebulan.

Bagi isi rumah kaum India, jurang median pendapatan dengan keluarga Cina ialah RM1,154 sebulan pada 2016.

Meskipun merupakan 60% daripada jumlah penduduk negara, Bumiputera masih tertinggal dalam kebanyakan bidang pekerjaan profesional kecuali doktor dan juruukur kuantiti.

Sebagai contoh, pada 2014 sebanyak hanya 46% Bumiputera mendominasi profesion kedoktoran, 36% (jurutera), 41% (peguam), 39% (arkitek) dan 45% (doktor haiwan).

Putrajaya juga berkata sumbangan sebenar pendapatan Bumiputera kepada pengeluaran ekonomi negara atau Keluaran Dalam Negara Kkasar (KDNK) adalah 28% pada 2014.

Dari segi kawasan, pembangunan yang tertumpu di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia menyebabkan jurang pendapatan semakin melebar antara kawasan bandar dan luar bandar.

Perbezaan kekayaan di antara negeri terkaya seperti Kuala Lumpur dan Selangor, dan yang termiskin iaitu Kelantan dan Sabah, meningkat enam kali ganda dalam tempoh 27 tahun.

Kuala Lumpur dan Selangor menyumbangkan 40% daripada KDNK. Sebagai perbandingan, lima negeri termiskin - Kelantan, Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak - memberi sumbangan gabungan hanya 25%.

Sebahagian besar kekayaan ekonomi negara juga dimiliki majikan dan pemilik perniagaan berbanding pekerja.

Ini dilihat dalam pampasan pekerja (CE) kepada KDNK iaitu 35.7%. Sebagai perbandingan, negara seperti Jerman, Korea Selatan dan Singapura mempunyai kadar CE sebanyak 51.5%, 45.7% dan 39.7%. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen