Antara doa mubaligh dan guru agama mundur


Mohd Syazreen Abdullah

TIDAK perlu bimbang terhadap insiden doa Kristian yang didakwa berlaku di sekolah mubaligh Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Yang harus dibimbangi ibu bapa Muslim adalah lambakan guru agama berfahaman sempit dan berpemikiran mundur di sekolah-sekolah yang majoriti muridnya Islam.

Mereka ternyata gagal menanam elemen kritis dan nilai kemanusiaan kepada murid tentang keluasan agama.

Kita tidak mahu melahirkan anak-anak generasi masa hadapan ikut meneladani pemikiran cetek ibu bapa dalam insiden doa yang boleh mencetuskan ketidakharmonian rukun kemasyarakatan.

Isu doa tidak wajar jadi polemik murahan atau modal pergeseran agama dan kaum.

Selain itu, jika kita terus menjadikan sekolah sebagai pusat untuk  menentukan keimanan seseorang, maka kita terpesong dari tujuan pendidikan.

Doa agama apa-apa pun tidak menjadi masalah. Walhal mengajar agama selain Islam juga bukan masalah.

Sebenar-benar masalah adalah pembelajaran dan pengajaran pendidikan agama yang gagal melahirkan generasi kritis yang mampu meredakan konflik kemanusiaan sejagat dan kekerasan beragama.

Jadi, sejauh manakah lambakan graduan agama Timur Tengah mahupun tempatan yang dilantik Kementerian Pendidikan hari ini mampu mencapai kualiti pada tahap keilmuan merentasi sempadan kebudayaan, perkauman dan keagamaan?  

Malangnya, inilah yang membanjiri profesion perguruan agama di Malaysia. Ustaz dan pegawai pendidikan agama yang begitu takut dengan simbol salib mahupun Syiah di dalam buku-buku Pendidikan Islam.

Lambakan guru agama “sempit” seperti itu menjadi asbab penyumbang kepada gejala kemunduran pemikiran Islam.

Ia dibungkam melalui aktiviti pembelajaran pendidikan agama yang terbatas. Guru mengajar agama mengikut selera acuannya.

Murid dipaksa mengikuti acuan tersebut – hanya Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Kemunduran dalam pembelajaran dan pengajaran subjek pendidikan Islam seharusnya menjadi topik perbahasan penting. Bukannya sibuk terhadap isu remeh seperti insiden doa.

Sepatutnya, ibu bapa harus risau akan nasib anaknya yang menjadi korban kepada sistem pendidikan Islam berpandukan taklid.

Kontradik Falsafah Pendidikan

Dalam konteks masa kini, tidak dapat dinafikan tujuan pendidikan untuk melahirkan insan sempurna bukan sahaja dari segi akhlak tetapi juga mencanai akal kritis.

Kita tidak boleh hanya mengulangi bahawa pendidikan Islam berlegar-legar soal akhlak dan adab semata-mata.

Pendidikan Islam tidak akan maju jika itulah yang menjadi santapan saban tahun dalam perbahasan ahli akademik mahupun guru pendidikan Islam.

Malah, Ibnu Khaldun (1993) ada menyatakan  manusia adalah makhluk berfikir dan mampu membentuk potensi melalui al-ta’alim (pendidikan) dan al-riyadat (latihan) yang sesuai dengan gerak perkembangan fizikal dan mentalnya.  

Kata Ibn Khaldun, potensi akal fikiran adalah anugerah Tuhan kepada manusia untuk mengembangkan upaya potensi (al-Taqat al-Quswa). 

Justeru, Pendidikan Islam seharusnya bukan semata-mata perihal kesempurnaan akhlak tetapi proses mengoptimumkan pertumbuhan dan perkembangan manusia memajukan kebudayaan dan tamadun kemanusiaan sejagat.

Jelas, Pendidikan Islam tidak sahaja melahirkan manusia berakhlak dan beradab, malah memiliki ketajaman akal dalam mencerap permasalahan global dan universal.

Pendekatan ini memerlukan keberkesanan antara hubungan pembelajaran dan pengajaran oleh guru kepada murid.

Hal ini selaras dengan misi Kementerian Pendidikan mahu melahirkan golongan yang bukan sahaja mahir dalam ilmu fardu ain tetapi menguasai fardu kifayah.

Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (2019), dalam usaha melahirkan teknokrat yang bersifat tauhidik dan ijtihadik yang dapat memenuhi aspirasi negara serta keperluan masa kini yang bersifat holistik dan futuristik.

Justeru pendekatan Kemahiran Abad ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) secara eksplisit dalam DSKP KSSM Pendidikan Islam dijadikan teras dalam pendekatan pembelajaran dan pengajaran masa kini.

Namun, sejauh manakah hasrat Kementerian Pendidikan atau falsafah pendidikan mampu tercapai jika pelaksanaan terutama pada peringkat guru masih ditakuk lama?

Guru masih takut mendedahkan buku-buku selain aliran Imam Syafii. Guru agama masih paranoid dengan mazhab Syiah. Walaupun memenuhi standard kurikulum pembelajaran dialog kritis seperti KBAT, PAK 21, namun dialog tersebut masih kaku, sekadar mengabsahkan mazhab ini betul dan mazhab ini salah.

Dialog sekadar menjadi medan pertempuran mengatakan pihak itu ini sesat dan “hanya kami pihak yang benar”.

Maka sampai ke sudah Pendidikan Islam tidak mampu melahirkan insan kritis sebagaimana yang dihasratkan dalam falsafah Pendidikan.

Malah ada guru menegaskan kepada muridnya tentang bahaya kesesatan Syiah dan harus dijauhi.

Kebebasan dalam memahami agama dibataskan oleh sebahagian lambakan guru sedemikian.

Hal inilah yang harus diambil berat oleh ibu bapa Muslim dan KPM. Tentang peri pentingnya peranan, sikap dan pemikiran guru melalui pembelajaran di dalam kelas, sama ada mereka mampu menghidupkan kemanusiaan tanpa disempadankan faktor mazhab, agama dan kaum.

Perkara ini sepatutnya kita cakna. Fenomena ketidakharmonian dalam masyarakat hari ini diakibatkan proses pendidikan selama ini. 

Apakah Pendidikan Islam hari ini mampu meraikan kebebasan keluasan ilmu dan sedia membuka pintu ijtihad serta membuang taklid serta mengharmonikan keberagamaan dalam kehidupan silang budaya dan agama?

Justeru, berhentilah menjadi guru agama yang siang malam hanya memikirkan soal iman berbanding memartabat nilai kemanusiaan – ini yang harus dicurahkan kepada murid.

Soal iman tidak boleh ditentukan atas kertas penilaian peperiksaan. Guru agama harus keluar dari kepompong kejumudan tafsiran dalam memahami tujuan Pendidikan Islam. 

Anak-anak harus diajar nilai kemanusiaan merentasi kaum, agama dan mazhab. Bukannya menyemai jiwa anak-anak menjadi pembenci baik dalam isu Syiah, LGBT mahupun liberal – khuatir mereka jadi pembengis suatu hari kelak.  

Negara memerlukan generasi masa hadapan yang berfikiran toleransi dan luas paradigmanya dalam beragama. Bukan manusia yang suka mencari balah atas nama agama atau kaum.

Sekolah juga bukanlah pusat doktrinisasi agama dan keimanan tertentu. Keimanan tidak harus ditentukan oleh sekolah atau guru.

Guru agama bermazhab Syafii tidak berhak memaksa anak didiknya menganuti Syafii. Begitu juga tidak ada paksaan dalam agama.

Sebaliknya, sekolah harus mengajar bagaimana untuk kita mempraktik  kepercayaan dan keimanan dalam kehidupan.

Ayuh, berhentilah berpencak hal picisan seperti doa ketika generasi masa depan masih terkial-kial dalam menggunakan akal kritis.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen