Tiada lagi Mak Yong asli dengan panduan syariah PAS, kata aktivis


Nabihah Hamid

Persembahan Mak Yong itu sudahpun rosak kerana perlu mengikut garis panduan syariah ditetapkan kerajaan PAS, menurut Pusaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2019.

AKTIVIS seni percaya pertunjukan Mak Yong yang dapat dipersembahkan semula di Kelantan tidak lagi memaparkan kesenian sebenar selepas diharamkan selama hampir tiga dekad.

Persembahan warisan itu sudahpun rosak kerana perlu mengikut garis panduan syariah ditetapkan kerajaan PAS, menurut Pusaka, sebuah NGO yang melihara seni budaya Melayu.

Oleh itu warisan seni negara itu hanya akan menjadi satu bentuk seni semata-mata, kata Pengasas Pusaka, Eddin Khoo.

“Saya memuji kerajaan Kelantan (kerana mahu benarkan) tetapi ini bukan Mak Yong dan saya risau tiba-tiba ia menjadi satu rumusan satu bentuk seni.

“Mak Yong jauh lebih mendalam, ia merangkumi pandangan dunia masyarakat dan ia mengungkap sejarah. Ia mencerminkan banyak kehidupan masyarakat kelantan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas laporan yang menyebut kerajaan Kelantan membenarkan persembahan Mak Yong sekiranya mematuhi keperluan syariah termasuk mewajibkan pelakonnya menutup aurat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata penganjur juga perlu memastikan lelaki dan wanita tidak bercampur di atas panggung atau di kalangan penonton.

Beliau juga menegaskan, elemen pemujaan tidak dibenarkan dalam persembahan tersebut.

“Garis panduan serupa juga dikenakan untuk wayang kulit dan pertunjukan seni tradisional Melayu lainnya,” kata Nik Amar seperti dipetik dalam laporan The New Straits Times.

Mengulas lanjut, Eddin berkata masalah pokok yang membantutkan perkembangan Mak Yong adalah campur tangan politik dalam kawalan ke atas kegiatan budaya.

Beliau beranggapan pemimpin politik itu takut pada bayang sendiri kerana mahu mengawal persembahan seperti Mak Yong sedangkan warisan seni tersebut sememangnya warisan Melayu.

Masalah pokok yang membantutkan perkembangan Mak Yong adalah campur tangan politik dalam kawalan ke atas kegiatan budaya, kata Pengasas Pusaka, Eddin Khoo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2019.

“Kenapa (isu budaya) menjadi kawalan orang politik. Orang politik menentukan apa dipersembahkan dan tak boleh. Ia satu isu sangat besar.

“Kita (ahli politik) jangan masuki gelanggang budaya. Ia wujud ratusan tahun, ia ada maruah sendiri. Dia bukan dari barat, dia adalah satu asli pada orang Melayu terutama Melayu.

“Jadi tak harus takut pada bayang-bayang kita sendiri,” kata anak kepada sejarawan mendiang Khoo Khay Kim.

Pengumuman kerajaan Kelantan itu turut disambut dengan rasa kecewa dan terkilan oleh penggiat seni Mak Yong, Hasnah Jusoh yang melihat kawalan tersebut mencacatkan keaslian persembahan.

Katanya, walau diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Kelantan tetap ingin mengawal Mak Yong dengan peraturan syariah.

“Saya terkilan kerana badan Unesco sudah iktiraf seni Mak Yong sebagai warisan di mata dunia tapi tidak diendahkan (kerajaan negeri),” kata Hasnah.

Pengurus Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari itu berkata, garis panduan seni Mak Yong dibincang dalam rundingan dua bulan lalu dengan kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.

Katanya, antara yang ingin diperkenalkan kerajaan negeri adalah garis panduan supaya hanya pemain lelaki dibenarkan membuat persembahan Mak Yong.

Cadangan itu ditentang oleh Hasnah yang berpendapat syarat yang terlampau ketat ke atas persembahan seni itu tidak munasabah dan akan menyebabkannya terkubur.

“Kalau (syaratkan pemain) pakai tudung, munasabah lagi tetapi kalau semua (persembahan) luluskan hanya pemain lelaki. Baik tak payah lulus.

Jelasnya lagi wanita perlu memainkan pelbagai watak wanita seperti permaisuri, raja, tukang masak dayang-dayang dan banyak lagi.

Seorang pengurus kumpulan Mak Yong di Kelantan berkata persembahan Mak Yong tidak menyimpang dari syariat Islam.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2019.

“Semuanya perlu dipersembahkan bersama. Kalau lelaki ambil watak permaisuri mana munasabahnya?

“Tetapi apa pun keputusan kita belum dapat tahu. Mesyuarat hari itu belum keluar fatwa,” katanya lagi.

Beliau yang sering membuat persembahan anjuran NGO Pusaka itu mempertahankan bahawa persembahan Mak Yong tidak menyimpang dari syariat Islam.

“Makyong memang permainan rakyat, tiada unsur ritual. Pandangan saya, kerajaan negeri PAS tak boleh nak seimbangkan.

Larangan ke atas persembahan Mak Yong dikuatkuasakan di Kelantan sejak 1992, dua tahun selepas parti Islam itu mengambil alih kerajaan negeri itu.

Unesco mengangkat Mak Yong sebagai salah satu warisan dunia pada 2008.

Seterusnya pada 2017, wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu menggesa kerajaan negeri Kelantan menarik balik larangan persembahan terbuka Mak Yong dan lain-lain bentuk seni tradisional.

Wakil badan dunia itu berkata Mak Yong kaya dengan tradisi yang perlu diraikan dan dihargai kerana ia seni pentas yang tertua di dunia.

Gesaan wakil Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu bagaimanapun tidak diendahkan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada waktu itu dilaporkan berkata tiada sebab kenapa pengharaman sejak tahun 1992 itu perlu ditarik balik. – 26 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen