Semua sekolah beroperasi esok


Semua sekolah di seluruh negara akan beroperasi esok berdasarkan bacaan IPU yang semakin menurun, kata Kementerian Pendidikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 September, 2019.

SEMUA sekolah di seluruh negara akan beroperasi esok berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin menurun, kata Kementerian Pendidikan.

“Berikutan keadaan jerebu dan laporan bacaan IPU terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara akan beroperasi semula seperti biasa pada 24 September 2019 (Selasa).

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” menurut kenyataan KPM hari ini.

Bacaan IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara semakin baik berbanding semalam dengan hanya 33 kawasan mencatat bacaan “tidak sihat”. 

Bacaan IPU di Sri Aman setakat jam 6 petang tadi adalah pada 106 iaitu “tidak sihat” berbanding “bahaya” pada minggu lepas.

Johan Setia di Klang, Selangor mencatat bacaan paling IPU paling tinggi di Semenanjung iaitu 188 pada jam 6 petang tadi.

Bagi kawasan lain di Semenanjung seperti Lembah Klang, Ipoh dan Seri Manjung di Perak, Klang dan Banting di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan beberapa bahagoian di Johor pula, bacaan IPU berada dalam kategori “tidak sihat”.

Bacaan IPU 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan bahaya (300 keatas). – 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen