BEKAS presiden Zimbawe, Robert Mugabe menghidap kanser ketika meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura pada 6 September lalu, lapor akhbar Zimbabwe pada Isnin.
Bekas pemimpin gerila yang mati pada usia 95 tahun itu memerintah Zimbabwe selama 37 tahun 7 bulan.
Mugabe digulingkan pada November 2017 oleh tentera sekali gus menamatkan pemerintahan kuku besi.
Kesihatan pemimpin itu mula merosot selepas ditumbangkan dan beliau sering berulang alik ke Singapura untuk mendapatkan rawatan.
“Mugabe menghidap kanser dan terpaksa hentikan rawatan kimoterapi kerana ia tidak lagi berkesan,” lapor The Herald.
Maklumat itu didedahkan oleh Presiden Emmerson Mnangagwa ketika menyampaikan ucapan kepada penyokong partinya di New York Sabtu lalu, menurut akhbar berkenaan.
“Doktor terpaksa menghentikan rawatan…kerana faktor usia dan kanser itu telah merebak dan rawatan itu tidak lagi membantu,” kata Mnangagwa.
Sementara itu, anak saudara Mugabe, Leo Mugabe enggan mengulas berhubung perkara itu. – AFP, 23 September, 2019.
Komen