Mugabe meninggal dunia


Robert Mugabe meninggal dunia hari ini. – Gambar EPA, 6 September, 2019.

BEKAS presiden Zimbabwe Robert Mugabe yang memerintah negara itu lebih tiga dekad sejak merdeka, meninggal dunia hari ini.

Umurnya 95 tahun.

Berita kematiannya diumumkan Presiden Emmerson Mnangagwa, yang menggantikan beliau selepas Mugabe hilang sokongan daripada partinya sendiri pada 2017.

“Dengan penuh dukacita saya umumkan pemergian bapa pengasas negara dan bekas presiden Robert Mugabe,” tulis Mnangagwa di Twitter, hari ini.

“Beliau adalah ikon pembebasan pan-Afrika yang menumpahkan seluruh hidupnya pada kebebasan dan pemberdayaan rakyat.

“Sumbangannya kepada sejarah negara dan benua (Afrika) tidak akan dilupakan.”

Mugabe sebelum ini dilaporkan uzur dan sempat beberapa bulan menjalani rawatan di hospital di Singapura. 

Masalah kesihatannya bagaimanapun tidak diketahui umum.

Mugabe, yang pernah mendakwa “hanya Tuhan” boleh menyingkirnya dari jawatan, diketepikan oleh ahli partinya sendiri dua tahun lalu selepas beliau memecat Mnangagwa, ketika itu timbalannya, untuk digantikan isterinya sendiri, Grace Mugabe.

Beliau yang pernah dianggap sebagai harapan bangsanya kemudian mundur dengan legasi buruk kesan penindasan dan ketidakadilan yang dilakukannya selama mempertahankan kekuasaan.

Kejatuhan Robert Mugabe bermula apabila menyingkirkan timbalannya untuk mengangkat isterinya, Grace Mugabe (kanan) sebagai pemimpin Zimbabwe pada 2017. – Gambar EPA, 6 September, 2019.

Zimbabwe yang pernah dilihat sebagai negara ekonomi utama selatan Afrika terjerumus dalam kemiskinan.

Mugabe memulakan kerjaya politiknya sebagai pejuang kemerdekaan Zimbabwe, yang pada masa itu dikenali sebagai Rhodesia.

Namanya pernah diletakkan sebagai dengan pejuang pembebasan Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Dalam perjuangannya, Mugabe memimpin gerakan gerila melawan pemerintahan minoriti kulit putih. Beliau sempat bertahun-tahun merengkok dalam penjara.

Selepas bebas dari tahanan, Mugabe melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi, pendidikan dan undang-undang di Universiti London.

Robert Mugabe pernah diangkat setanding Nelson Mandela sebelum pentadbirannya berubah menjadi autokratik dan penuh korupsi. – Gambar EPA, 6 September, 2019.

Pada pertengahan 1970-an, beliau menerajui sayap politik Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe (Zanu-PF), gerakan pembebasan garis keras yang bertapak di Mozambique.

Beliau memimpin gerakan bersenjata menentang pemerintahan kulit putih. Apabila konflik tamat pada 1979, Mugabe muncul sebagai wira di tanah airnya sendiri dan di mata dunia.

Beliau jadi perdana menteri pertama Zimbabwe yang merdeka pada Februari 1980, mewarisi ekonomi yang stabil dan sebuah negara dengan sumber alam yang kaya.

Namun dalam tempoh seawal tiga tahun saja, Mugabe mula menunjukkan corak pentadbirannya yang tidak memberi muka kepada sesiapa saja yang menentangnya.

Ketika Zimbabwe terperosok dalam krisis ekonomi kesan inflasi yang tinggi, Mugabe dan keluarganya dikecam kerana hidup bermewah-mewah.

Walaupun pemerintahannya dikritik oleh banyak pihak terutamanya dunia Barat, sebahagian rakyat Zimbabwe dan Afrika mengagumi beliau kerana pandangannya yang keras dan tegas terhadap Barat yang menindas benua itu. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen