57 sekolah di Selangor ditutup esok


Semenanjung Malaysia dan Sarawak mula berhadapan dengan masalah jerebu susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

LIMA puluh tujuh sekolah di Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin buruk petang ini, kata Jabatan Pendidikan Selangor.

57 sekolah telah memaklumkan kepada jabatan pendidikan pada pukul 3 petang hari ini bahawa mereka akan menutup sekolah selepas bacaan IPU di stesen pemantau udara Johan Setia mencecah 200 dan memasuki julat “sangat tidak sihat”.

Johan Setia telah merekodkan bacaan IPU sebanyak 207 pada pukul 3 petang tadi, menyaksikan kenaikan bacaan IPU dari 191 pada tengah hari. Pada pukul 4 petang, bacaan IPU masih 207.

Jabatan pendidikan turut berkata sekolah-sekolah di bahagian lain di Selangor di mana bacaan IPU di bawah 200 masih dibuka esok.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa sekolah diingatkan untuk membatalkan semua aktiviti luaran jika bacaan berada dalam lingkungan 101-200 atau “tidak sihat”.

Sekolah juga boleh terus ditutup dan memaklumkan penutupan sekolah kepada pihak jabatan jika bacaan IPU melebihi 200.

Laman web Jabatan Alam Sekitar petang ini menunjukkan kebanyakan kawasan menunjukkan bacaan yang lebih tinggi berbanding tengah hari tadi, bacaan IPU bagaimanapun masih dalam lingkungan tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, “sederhana” (51-100), “tidak sihat” (101-200), “sangat tidak sihat” (201-300) dan “berbahaya” (300 ke atas ). – 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen