Bukan kami mulakan kebakaran, kata syarikat minyak sawit Malaysia


Sheridan Mahavera

Anggota bomba kelihatan cuba memadamkan api di hutang di Kampung Rambutan, Ogan Ilir, Sumatera Selatan baru-baru ini. – Gambar AFP, 19 September, 2019.

KEBAKARAN di ladang kelapa sawit milik warga Malaysia di Indonesia, yang menyebabkan jerebu di sini, bermula dari tanah bersebelahan, kata kumpulan perdagangan komoditi itu.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menolak tuduhan bahawa mereka yang menyebabkan kebakaran itu, berkata kebakaran bermula di tanah milik syarikat-syarikat kecil.

“Ia bukan disebabkan oleh syarikat Malaysia atau kakitangan mereka,” kata Pengerusi MPOA Franki Anthony Dass kepada The Malaysian Insight.

Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan asap tebal yang dibawa angin ke Malaysia dan Singapura, hingga menyebabkan kualiti udara jatuh ke paras tidak sihat di ketiga-tiga negara terbabit.

Pihak berkuasa Indonesia mendakwa sebahagian kebakaran itu berlaku di kawasan ladang dikendalikan oleh anak syarikat tempatan milik syarikat minyak sawit Malaysia, di mana MPOA menafikannya.

Kebakaran itu, sama ada sengaja atau tidak, sukar dikawal dan merebak ke kawasan perladangan milik syarikat Malaysia, kata Dass.

Beliau berkata kerana jarak yang dekat antara syarikat kecil yang bebas dengan kawasan ladang itu, kebakaran itu dapat dikesan sebagai titik panas oleh satelit.

“Jadi bacaan titik panas itu nampak seperti kebakaran datang dari ladang kami dan kami yang memulakannya,” kata Dass.

“Tetapi sebenarnya kebakaran itu di tanah milik syarikat kecil persendirian dan ia merebak ke tanah kami.”

Helikopter milik Agensi Bencana Nasional membawa bungkusan air dalam operasi menjatuhkan air untuk memadamkan kebakaran hutan di Ogan Ilir, Sumatera Selatan, Indonesia, semalam. – Gambar EPA, 19 September, 2019.

Beliau berkata tidak seperti kebanyakan perladangan di Malaysia, konsesi minyak sawit Malaysia biasanya ada sebilangan kampung dalam kawasan tanah mereka yang menjalankan estet kecil secara bebas.

“Penduduk kampung dan petani ini ada tanah mereka sendiri dan syarikat kecil dalam konsesi syarikat besar. Jadi bila kebakaran bermula di tanah mereka, ia akan menjadi sukar dikawal dan merebak ke kawasan tanah milik syarikat Malaysia.”

Semua syarikat Malaysia dan anak syarikatnya yang beroperasi di Malaysia dan beberapa tempat lain di seluruh dunia mempunyai polisi tegas tidak boleh melakukan pembakaran, sebagai sebahagian komitmen mereka bagi skim pensijilan lestari, kata Dass.

“Semua ahli kami tidak dibenarkan melakukan pembakaran di tanah mereka,” katanya.

MPOA mempunyai lebih 120 ahli termasuk syarikat besar minyak sawit dalam negara seperti Sime Darby, United Plantations, IOI Plantations dan Kuala Lumpur Kepong Berhad. 

Lebih separuh syarikat ini beroperasi di Indonesia dan beberapa tempat lain di seluruh dunia.

Syarikat minyak sawit Malaysia, Sime Darby, KLK, IOI dan TDM Berhad baru-baru ini mendapat perhatian selepas kebakaran terbuka dikesan di ladang mereka di Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia juga menutup tanah milik empat syarikat itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan mengambil tindakan terhadap syarikat tempatan yang didapati bertanggungjawab memulakan kebakaran itu.

Sime Darby Plantations menafikan tuduhan itu dan menegaskan kebakaran berlaku di luar kawasan operasi mereka di Indonesia. IOI juga menafikan tuduhan itu.

TDM Plantations, bagaimanapun mengakui 1,200 hektar tanahnya terbabit dalam kebakaran tetapi ia dapat mengawal api itu.

Dass berkata kerana jarak terlalu dekat dengan syarikat kecil dan petani kepada konsesi syarikat besar, banyak syarikat mengambil langkah proaktif untuk mendidik jiran mereka tentang bahaya pembakaran terbuka.

“Bila kami kesan ada kebakaran di syarikat kecil atau kampung yang dekat dengan kami, maka kami akan buat laporan kepada pihak berkuasa.”

Sebahagian syarikat ada zon penampan 5km antara ladang mereka dan tanah bukan milik mereka bagi menghentikan kebakaran hutan merebak.

Ada juga syarikat mempunyai pasukan bomba sendiri yang digerakkan untuk memadamkan api jika berlaku kebakaran, walaupun ia membabitkan tanah syarikat kecil.

Selain kebakaran di tanah milik syarikat kecil, ada individu yang sengaja memulakan kebakaran di tanah bersebelahan ladang dan kemudian melarikan diri.

“Anda tidak boleh tangkap mereka ini. Ini kerana teknik tebas-dan-bakar kaedah termurah untuk membersihkan tanah. Dan kemudian mereka tanam tanaman.

“Jadi, walaupun kami ambil langkah pencegahan, bila cuaca kering luar biasa, kebakaran boleh berlaku walau hanya kerana puntung rokok. Dan apinya merebak dengan cepat bila ada angin kuat.” – 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen