Robin Hood, Abu dan dunianya


Meor Yusof Aziddin

ROBIN Hood cerita dongeng rakyat Inggeris dari abad ke-13. Cerita legenda tentang pahlawan rakyat ini, seperti yang diceritakan zaman berzaman, tetap terus hidup sehinggalah ke hari ini.

Robin Hood, perompak yang merompak orang kaya untuk menolong orang miskin. Itulah yang digambarkan kepada rakyat.

Merompak atau mencuri bukanlah satu kerja yang baik, cuma bila hasil rompakan itu diagihkan untuk menolong golongan miskin, Robin Hood diangkat sebagai hero rakyat bawahan. Seperti kebanyakan watak dalam filem Rajinikanth, orangnya jahat tapi baik hati dan tolong orang miskin.

Awal 1990-an, saya banyak habiskan masa muda di Pasar Seni, melepak bersama kawan-kawan yang sealiran dalam muzik dan juga lukisan.

Waktu itu Pasar Seni yang secara rasminya dibuka pada pertengahan 1980-an masih “genuine”, tidak seperti hari ini. Kadar sewa untuk para peniaga di situ juga sangat berpatutan.

Ada seorang anak muda dalam usia 20-an waktu itu yang saya kenal di kalangan kawan dengan panggilan Abu. Saya pun tak pasti itu nama sebenarnya ataupun tidak.

Kerja Abu mencuri. Dia cari makan dengan hasil mencuri. Namakan apa saja yang kita mahu – buku, perakam video, jam dinding dan segala macam barang, Abu boleh uruskan.

Selalulah saya beli buku tentang artis dan kumpulan muzik barat seperti Pink Floyd, Hendrix, U2 dan sebagainya dari Abu. Harga asalnya memang mahal, sekitar RM100 ke atas. Dengan Abu harganya cuma antara RM10 hingga RM15 saja. Sebab Abu bukan nak berniaga, melainkan asal jual, itu saja.

Ramailah kawan-kawan yang beli berbagai-bagai barang dengan Abu. Saya pun tak tahu macam mana dia boleh masukkan perakam video yang dicuri ke dalam seluarnya.

Pernah dia datang ke Pasar Seni dengan muka yang lebam-lebam akibat dibelasah oleh tauke kedai. Kalau soal keluar masuk pusat serenti dan penjara, itu jangan cakaplah.

Siapa pun tak tahu dari mana asal-usul Abu atau siapakah Abu ini? Yang kita tahu Abu akan datang dan jual barang dengan harga mampu beli. Waktu itu kita bukannya berduit sangat, buku Pink Floyd yang harganya ratusan ringgit, mana mampu kita beli.

Saya pernah berbual dengan Abu, katanya dalam sehari dia perlu sekurang-kurangnya RM200 untuk membeli dadah. Saya kata itu perbelanjaan orang kaya dan banyak duit.

Sayang itu cara hidup yang dipilihnya. Dengar khabarnya Abu sudah pun meninggal dunia beberapa tahun lalu dalam usia yang masih muda. Bak kata pepatah orang muda yang putus asa, Hidup Nekad Mati Muda!

Di kalangan kawan-kawan, Abu dianggap Robin Hood, mencuri untuk membantu golongan yang memerlukan.

Satu yang pasti, Abu budak baik, cuma kerjayanya yang tidak baik. Bak kata Iwan Fals dalam lagunya, “aku berteman iblis, yang baik hati”.

Kota ini punya pelbagai cerita, apa saja warna dan konsepnya, real, surreal, abstrak? Apa saja, kerana kita adalah sebahagian pelengkap isi cerita-Nya. – 13 Oktober, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen