Putrajaya perlu teruskan projek rumah kos rendah, kata pakar


Yeoh Cheong Ee

Pakar perancang bandar berkata rekaan rumah pangsa PPR kini perlu lebih sesuai dengan kehidupan moden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

PUTRAJAYA perlu meneruskan pembinaan rumah kos rendah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) walaupun kosnya tinggi, kata pakar perancang bandar.

Putrajaya meletakkan tanggungjawab membina projek seumpama itu kepada kerajaan negeri kerana kos pembinaan yang tinggi, tetapi pakar berkata kerajaan persekutuan tidak boleh mengelak masalah itu dan perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian.

Pakar perancang bandar yang ditemui The Malaysian Insight berkata Putrajaya boleh memainkan peranan dalam memperuntukkan insentif cukai untuk bahan binaan, sementara kerajaan negeri boleh menguruskan hal berkaitan tanah, bagi memastikan kecekapan projek itu.

Pakar perancang bandar, Goh Bok Yen berkata wujud salah padanan antara permintaan dan bekalan rumah kos rendah kerana ramai kumpulan berpendapatan rendah tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk membeli hartanah berkenaan.

“Kedua-dua pihak tidak boleh melepaskan tanggungjawab. Kerajaan negeri ada kuasa untuk menguruskan hal tanah dan menyesuaikan harga mengikut kos pembinaan. Jika ia tanah kerajaan, kos pembinaan boleh dikurangkan kepada sifar,” kata Goh.

“Kerajaan persekutuan boleh mengurangkan cukai yang dikenakan bagi bahan binaan untuk menurunkan kos bangunan keseluruhan. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan memberi subsidi bagi pemaju dalam segmen rumah mampu milik.”

Goh juga mencadangkan kerajaan mendapatkan pemaju yang berpengalaman dan kukuh yang mempunyai tenaga kerja dengan kemahiran berkaitan.

Ini akan membantu dalam mengurangkan kos tidak perlu kerana projek itu akan dirancang dengan berkesan, katanya.

“Sebagai tambahan kepada kos tinggi dalam pembinaan, ada masalah juga dengan rekaan rumah pangsa PPR yang ketinggalan zaman, di mana ia sudah tidak sesuai dengan kehidupan moden.

“Kita perlu fikirkan rekaan dan konsep yang sesuai untuk generasi akan datang.”

Bahan binaan dan tanah

Seorang lagi pakar, Yong Sun Yong berkata kerajaan negeri dan persekutuan patut menubuhkan jawatankuasa bersama dan mendapatkan pemaju di bawah model kerjasama awam-swasta.

“Bagi mengurangkan kos tanah, pemaju sering membina rumah kos rendah di kawasan yang jauh dan lokasinya tidak menarik.

“Kerajaan negeri sebenarnya boleh menyediakan tanah kepada pemaju di lokasi utama kerana hak tanah ditadbir oleh mereka.

“Kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab dengan kewangan kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan untuk memperuntukkan dana mengikut saiz populasi. Mereka juga boleh subsidi perumahan kos rendah,” katanya.

Yong berkata dengan menggunakan sistem binaan berindustri (IBS), kos pembinaan juga boleh dikurangkan.

IBS diketahui dapat mengurangkan kebergantungan terhadap buruh secara manual. Teknologi itu membolehkan komponen binaan dihasilkan secara banyak dalam persekitaran terkawal dan kemudian dipasang di tapak pembinaan. – 13 September, 2019.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen