Kediktatoran demi kemanusiaan sejagat


Mohd Syazreen Abdullah

DEMOKRASI menjadi zalim sekiranya masyarakat subur menganuti sikap kediktatoran yang membuka pintu penindasan. Termasuklah kediktatoran terhadap agama dan ilmu. Kadangkala kediktatoran itu lebih baik seandainya pintu kezaliman dan penindasan itu dapat ditutupi seketat-ketanya. Hal itu lebih baik berbanding bertuhankan demokrasi yang mahukan penindasan dan kemunduran kemanusiaan. 

Hakikatnya, demokrasi tidak salah kerana ia medan pilihan dan kebebasan suara terkumpul. Namun seandainya suara itu adalah suara kemunduran yang mahukan kemanusiaan ditindas dan dirobek, maka pilihan yang ada adalah membuang jalan tersebut. 

Sebaliknya, lebih baik memilih kediktatoran yang menyelamatkan kemanusiaan dan mengunci kezaliman konservatif.

Kediktatoran nama yang dicop gelap berbanding demokrasi yang cerah dan harapan. Kediktatoran sinonim dengan kekerasan atau kezaliman. Berbanding demokrasi yang terbuka. Susah mahukan kebebasan demokrasi yang subur seandainya sikap kediktatoran masyarakatnya masih menebal. 

Diktator merupakan musuh sekali gus pembunuh kepada kebenaran dan kebebasan. Kediktatoran adalah sikap percaya bahawa pandangannya adalah satu-satunya paling betul lalu degil untuk menerima pandangan berbeza.  

Namun jalan harapan itu hanyut dibuai layanan kehendak masyarakat yang gagal memaknai prinsip nilai demokrasi. Masyarakat yang gagal berkongsi pentas kemanusiaan bersama. Masyarakat yang gagal menggunakan dialog medan persaudaraan bersama. 

Sebaliknya masyarakat mahukan demokrasi mengikut kedegilan mereka. Masyarakat mahukan dialog yang menghapuskan kewujudan Syiah. Masyarakat mahukan dialog menghapuskan LGBT, dan SIS. Mereka mahukan agama gemilang dengan melupakan keluasan ijtihadik beragama. 

Inilah masyarakat kediktatoran yang paradoks dalam menyahut demokrasi – masyarakat hipokrit.

Mereka menjadikan agama dan ilmu jalan untuk menindas manusia yang tidak sealiran ajaran mereka. Mereka ini umpama segerombolan serigala ganas, degil, bodoh dan sombong yang menerkam seekor ketua serigala naif dengan mengkhianati perjanjian nilai bersama. Serigala yang lemah terpaksa akur pada kehendak majoriti kebuasan serigala lain demi kekal hidup dalam lingkungan kebodohan.

Kita tidak boleh menghalalkan kebodohan pengetahuan seperti ini terus menjuarai keputusan penguasa. Penguasa mengikut acuan masyarakat majoriti konservatif. Pada akhirnya kita merelakan penindasan. Keberagaman di Malaysia terkenal dengan pendekatan konservatif agama yang mengunci penguasa dari terus menghidupkan dialog kebebasan. 

Masyarakat penindas

Lebih hina, dalam kumpulan masyarakat itu, golongan agamawan yang paling menyumbang menghidupkan pemikiran konservatif, ekstrem dan sempit. Mendoakan perlindungan daripada kesesatan Syiah adalah tanda betapa rosaknya masyarakat beragama kita. 

Kejadian terhadap penganut ajaran Syiah baru-baru ini telah mengesahkan wujudnya suara kediktatoran masyarakat yang negatif. Misalnya, perlakuan tidak bertamadun oleh pihak berkuasa agama Islam di Selangor berkait dengan sikap kediktatoran dengan penahanan lebih 20 penganut Syiah. 

Tambahan disogok lagi dengan khutbah Jumaat JAIS kepada seruan kebencian umum terhadap penganut Syiah dengan menyentuh ancaman ajaran itu yang difatwakan bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.  

Lebih malang, insiden tersebut tidak dihiraukan oleh menteri agama. Sebaliknya sokongan agamawan mengesahkan lagi kewajaran sikap itu. Rakyat yang mengomentari Syiah ini bukanlah membaca atau mengkaji sebenar-benarnya tentang Syiah. Mereka berpandukan semangat sentimen emosi yang meluak-luak tentang kesesatan syiah ini lalu menjadikan mereka tidak rasional dan manusiawi. Ditambah lagi hujah-hujah agamawan jumud yang menguatkan lagi kebencian mereka. 

Maka menteri agama turut menghalalkan budaya serta menyumbangkan kepada kediktatoran jumud masyarakat beragama hari ini. Kelompok majoriti pemegang kuasa keagamaan seperti asatizah, Ikram, Amanah, Mufti atau “Duta Rahmah” sekali pun tidak boleh diharap dalam membawa sinar keagamaan. 

Sebaliknya, menyokong kepada rantai kediktatoran dengan galak menyuap kebodohan kepada melayu Islam tentang doktrinisasi dogma sesat terhadap keluasan kepelbagaian agama dan mazhab. Bahkan menyokong kezaliman terhadap mangsa yang sedikit seperti Syiah.

Sikap mencerobohi, menyesatkan, atau menghasut kebencian umum terhadap kelompok berbeza akhirnya membuktikan bahawa sifat penguasa adalah yang memeluk telunjuk kediktatoran suara kemasyarakatan penindas. 

Ternyata suara rakyat mengatasi kehendak penguasa yang kononnya mahukan demokrasi. Akhirnya mereka menjadi hipokrit pada kebenaran. Jihad paling susah bukan berkata benar di hadapan penguasa yang zalim, sebaliknya penguasa yang tekal mempertahankan prinsip terhadap kebenaran di hadapan majoriti masyarakat yang zalim, jumud,dan mahukan kebebasan dikunci mengikut acuan mereka yang akhirnya mengorbankan kemanusiaan. 

Maka penguasa lemah terpaksa akur dengan memilih jalan seperti hendaknya masyarakat jumud idamkan iaitu Syiah dihapuskan.

Fenomena ini lebih barah daripada kezaliman yang ditelunjuki oleh nafsu penguasa. Di Malaysia, masyarakat Melayu Islam lebih sanggup menjahanamkan kehidupan seorang Syiah atas dasar “kesesatan” ajaran tersebut berbanding mengiyakan sebagai seorang manusia biasa yang mesti dihormati dan dilayan dengan kemanusiaan. 

Gelombang suara mahukan Syiah dilayani seperti kebinatangan dan ketidakkemanusiaan itu lebih kuat berakar umbi daripada kemasyarakatan. Susah melahirkan masyarakat yang menghormati keluasan perbezaan. Bukan melihat dari sudut agama. Sebaliknya memandang sudut seorang manusia. Orang kita, jika orang itu adalah Syiah, maka dihalalkan lesen kezaliman terhadapnya. 

Sehinggakan, mereka boleh bersatu berarak menyatukan suara Melayu Islam untuk mengusir Syiah di Malaysia hatta orang-orang politik ini rebah dan tersungkur mengiyakan kejahilan ini. Sebijak-bijak politikus pun akan memilih suara majoriti demi akur terhadap suara kekuasaan.

Justeru, pemikiran beragama tidak pernah maju bukan kerana ditelunjuki nafsu politikus, sebaliknya terbit dari luhur kalbu kemasyarakatan yang gelap hatinya yang tidak mahukan pencerahan. Mereka ini penyumbang kepada pemimpin yang jahil sekali gus masyarakat lesu. 

Menjadi pak turut 

Kediktatoran politik berkurang sekiranya rakyat tidak menjadi diktator. Kerana masyarakat penentu kewujudan kediktatoran. Penindasan tidak akan terbit sekiranya masyarakat tidak menindas. Semakin kuatnya suara mahukan syiah dibuang dari Malaysia, semakin kuatlah suara penguasa mengiyakannya. Natijahnya, pemimpin terpaksa mengikut selera kebodohan rakyat demi kekuasaan politik mereka.

Hakikatnya, bukan lagi pemimpin yang mencorakkan kemasyarakatan tersebut, sebaliknya masyarakatlah yang menentukan kehidupan mereka sama ada memilih untuk ditanya Tuhan tentang sikap mereka yang merelakan penindasan atas kemanusiaan

Bagaimanakah mahu mengeluarkan masyarakat dari kejumudan kediktatoran?

Rakyat yang kritis tidak akan melahirkan pemimpin yang jahil. Tanpa sedari, kita semua sedang dibuai lena kesedapan yang menyelimuti kediktatoran politik atas nama kejahilan agama dan ilmu. 

Penguasa lama bersikap keras, degil dan menindas terang-terangan dalam membuang demokrasi. Maka tidak ubah seperti penguasa pada hari ini. Penguasa hari ini kekal menyambung sikap kediktatoran lama walau cuba berselindung atas nama demokrasi dan rahmah. 

Hakikatnya, sikap kita dalam mendepani kepelbagaian dan keluasan wacana masih menjadi pak turut kepada fahaman yang jumud, keras, dan menindas. Tidak konsisten kepada perinsip. Masih takuk lama. Memualkan. 

Natijahnya, pengamalan agama kekal mundur di zaman kerajaan baharu. Kita hanya menyalin kulit sikap degil dan gasaknya kebebalan kerajaan barbarik lama yang memperjuangkan suara masyarakat penindas. 

Bezanya, kerajaan lama tidak pandai mengkedepankan tokoh rahmah di ruang awam berbanding kerajaan baharu hari ini. Sebaliknya, kebebasan menganuti fahaman berbeza terus diancam dan ditindas seperti kala.

Masa depan beragama terus malap dalam genggaman kediktatoran masyarakat yang berkuasa mengamalkan sikap menindas di samping ilmuwan yang menyokong sikap itu. Sebaliknya diungkapkan Abdul Rahman al-Kawakibi dalam buku Taba’I al-Istibdad atau terjemahannya tabiat kediktatoran: “Seorang dikatator berlawanan dengan ilmu. Seorang ilmuwan menggesa kepada pencerahan akliah sedangkan diktator berusaha keras memadamkan cahaya akal Sekiranya kejahilan binasa dan akal bercahaya, nescaya ketakutan akan hilang”

Benarlah bahawa ilmu yang paling ditakuti diktator adalah manusia yang mengetahui hakikat kebebasan lebih utama berbanding kehidupan. Mereka mengenali diri, maruah diri dan kemuliaannya, serta mengetahui haknya dengan cara memeliharanya dengan mengenal erti kemanusiaan.

Bak kata pepatah suara rakyat adalah suara perubahan dan pembebasan. Malangnya suara masyarakat di Malaysia, itu memang benar-benar terjadi tetapi yang mahukan kemunduran beragama terus berleluasa. Maka kita hidup di zaman gelap yang mengikut petunjuk suara kebodohan majoriti. 

Seandainya jalan demokrasi mengiyakan suara pembunuhan kemanusiaan, apakah menganuti kediktatoran dengan jalan melawan kediktatoran negatif masyarakat ini dianggap suatu pilihan yang mulia? 

Jika ia dapat menyelamatkan kemanusiaan sejagat daripada kediktatoran masyarakat penindas, mungkin kita tiada pilihan lain. – 12 September, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen