Kali terakhir tahap radiasi Bukit Merah diperiksa 13 tahun lalu


Noel Achariam Lee Chi Leong

Bertahun lamanya, penduduk Kampung Bukit Merah berjuang supaya kilang mengeluarkan sisa radioaktif berhampiran kampung mereka ditutup, sehingga kini mereka masih diburu bimbang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2019.

SUDAH 13 tahun berlalu sejak kali terakhir pihak berkuasa memeriksa kadar radiasi di Bukit Merah, Perak, mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk yang mereka masih dalam bahaya.

Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengakui kali terakhir kadar pencemaran di tapak kilang di Kampung Bukit Merah itu diperiksa adalah pada 2006.

Pengakuan itu dibuat selepas The Malaysian Insight melaporkan yang penduduk- tinggal kurang 100 meter dari kilang itu- tidak pasti sama ada kawasan itu selamat atau tidak.

Penduduk mendakwa kerajaan negeri tidak memaklumkan mereka sama ada pemeriksaan berkala di tapak kilang kimia yang sudah tutup itu dilakukan bagi menjaga keselamatan penduduk.

Mereka bimbang tentang sisa radioaktif dikeluarkan oleh Asian Rare Earth Sdn Bhd ( ARE, sebuah syarikat milik Mitsubishi Chemicals) yang dipaksa tutup pada 1990-an itu.

Kenyataan MB Inc kepada The Malaysian Insight menyebut ujian mendalam pada 2006 itu dilakukan dan disemak oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan jawatankuasa teknikalnya.

“Pengisytiharan peraturan keselamatan dikeluarkan LPTA pada April 2006,” katanya.

Kehidupan penduduk kawasan itu berubah selamanya selepas ARE mula beroperasi pada Julai 1982 untuk melombong ytrium, sebuah logam nadir bumi, daripada monazit.

Dua tahun selepas itu, penduduk kampung mula mendapati bayi baharu lahir di kampung itu mengalami kecacatan fizikal dan sekurang-kurangnya lapan kes leukemia disahkan berlaku.

Kali terakhir tahap radiasi di kilang berhampiran Kampung Bukit Merah diperiksa adalah pada 2006. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2019.

MB Inc berkata selepas perobohan kilang dan pemindahan sisa radioaktif, tapak kilang ARE itu diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Galian pada 2008.

Sejak itu, MB Inc tidak pasti sama ada terdapat ujian lanjut dibuat agensi itu.

The Malaysaian Insight sudah menghubungi Jabatan Tanah dan Galian tetapi masih tidak menerima balasan.

Wakil rakyat di Perak juga tidak mengetahui sama ada tahap radiasi di Bukit Merah kini masih tinggi seperti diperiksa NGO dan pakar luar tiga tahun lalu.

Adun Menglembu Steven Chaw Kam Foon memberitahu The Malaysian Insight yang pada 2017, sekumpulan pakar dari Jepun ada berkunjung ke tapak kilang itu dan mengisytiharkan tahap radiasinya masih tinggi.

“Mereka menguji tapak (kilang) dan mendapati tahap masih terlalu tinggi.

“Bacaan melepasi had selamat. Pakar itu kemudian mengambil sampel tanah untuk dibawa balik ke negara mereka untuk ujian lanjut,” katanya.

Asian Rare Earth Sdn Bhd dipaksa tutup selepas didapati mengeluarkan sisa radioaktif yang berbahaya kepada penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2019.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar juga berkata tapak itu sudah lama tidak diperiksa, menambah beliau akan menghubungi LPTA dalam masa terdekat.

Pada 2015, kilang dan semua peralatan dan bahannya bersama-sama ratusan tan sisa radioaktif dipindahkan ke kawasan selamat dibina kerajaan di Bukit Kledang.

MB Inc berkata terdapat hampir 50,000 tong sisa thorium hidroksida dan sekitar 37,000 bahan tercemar, berdasarkan senarai akhir barangan dipindahkan ke kawasan itu.

Kawasan itu dikawal dan diselia LPTA dan diurus dan dipantau MB Inc. – 12 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen