SPRM siasat kes dalam laporan ketua audit


Jason Santos

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pasukan petugas khas masih menyiasat kes-kes yang ada elemen rasuah dan jenayah dalam laporan Ketua Audit Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

PASUKAN petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan untuk menyiasat Laporan Ketua Audit Negara terbaru, menemui beberapa elemen jenayah dan rasuah dalam beberapa projek kerajaan, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata pasukan petugas khas itu masih menyiasat kes-kes berkenaan.

“Ada beberapa kes membabitkan rasuah atau jenayah. Kami sedang menyiasat kes yang ada elemen jenayah,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini ketika ditemui selepas melawat Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

Penubuhan pasukan petugas khas itu diumumkannya pada 22 Julai untuk menyiasat elemen jenayah berkaitan laporan terbaru berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata SPRM masih belum menerima aduan rasmi berkenaan pengeluaran MyKad kepada warga China.

“Jika ada aduan, kami akan siasat. MyKad dan isu kad pengenalan palsu bukan baharu. Kita perlu tahu asasnya tetapi pada masa ini tiada maklumat, hanya daripada berita.

“Tiada laporan. Kami tidak ada maklumat jadi tidak boleh bertindak,” katanya.

Polis Pulau Pinang minggu lalu membongkar sindiket MyKad palsu dan menahan beberapa individu, termasuk pegawai kerajaan kanan kerana disyaki terbabit dalam pengeluaran MyKad kepada warga China.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – 11 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen