Peguam Negara berat sebelah tak tuduh Zamri Vinoth, kata NGO Hindu


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Wakil Agamam Ani, Arun Dorasamy (tengah) ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 September Ogos, 2019.

SATU kumpulan penganut Hindu mendesak Pejabat Peguam Negara (AGC) meneliti semula keputusan untuk tidak mendakwa penceramah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Wakil Agamam Ani, Arun Dorasamy berkata pertubuhan itu kesal dengan keputusan tersebut kerana berpendapat Zamri sepatutnya didakwa kerana menghina agama Hindu.

Arun berkata gabungan NGO Hindu itu juga kesal kerana Pejabat Peguam Negara seolah-olah sengaja melengahkan kes tersebut untuk melindungi Zamri.

Katanya, mereka hanya diberitahu bahawa Zamri tidak akan didakwa apabila berkunjung sendiri ke pejabat peguam negara pada 5 September lalu selepas menghantar tujuh surat rasmi dan lima emel.

“Ketika itu, baru kami diberikan keputusan AGC untuk tidak mendakwa Zamri yang bertarikh 5 Julai iaitu sudah dikeluarkan lebih sebulan awal.

“Ia bagaikan ada muslihat dalam melindungi penceramah berkenaan,” kata Arun dalam satu sidang media.

Mereka turut mempersoalkan siasatan ke atas Zamri yang dijalankan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 298A serta Akta SKMM 233.

Walhal siasatan sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengeluarkan kenyataan provokasi, katanya.

Jelasnya, aduan itu berhubung ucapan Zamri dalam satu ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada Disember lalu.

Ucapan didakwa menghina agama Hindu itu terkandung dalam satu rakaman video sepanjang kira-kira 15 minit, katanya.

Oleh itu polis dan AGC perlu menganalisis semula video berkenaan bersama pemimpin Hindu atau Hindu Sangam yang lebih arif mengenai penghinaan terbabit, katanya.

Arun seterusnya mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah kerana hanya aktif mengambil tindakan ke atas individu menghina agama Islam.

“Sehingga kini, beberapa kes yang membabitkan penghinaan ke atas agama Hindu atau agama bukan Islam adalah tidak serius atau tiada tindakan langsung.

“Tetapi, sekiranya penghinaan dilakukan terhadap agama Islam, si pelakunya dikenakan tindakan penjara atau serius.

“Sepatutnya tindakan undang-undang tidak pilih kasih kerana rakyat Malaysia bebas untuk menganuti agama masing-masing,” katanya.

Tambahnya, mereka akan mencabar keputusan peguam negara itu di mahkamah dan akan turut mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. – 9 September Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen