JABATAN Peguam Negara (AGC) mengesahkan penceramah bebas Muhammad Zamri Vintoh Kalimuthu tidak akan didakwa kerana dituduh mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu.
Dalam sepucuk surat kepada persatuan sivil Hindu, Agamam Ani, AGC berkata pihaknya tidak akan mengambil tindakan lanjut ke atas Zamri.
Surat itu yang ditandatangani Peguam Cara Negara III Mohamad Hanafiah Zakaria bertarikh 5 Julai 2009 diserahkan kepada persatuan sivil itu hari ini.
Pegawai Perhubungan Pelanggan AGC Wasri Ahmad Sujani berkata salinan surat itu sudah dihantar lebih awal menggunakan pos kepada alamat pejabat persatuan itu.
Beliau turut meminta maaf atas kelewatan itu, menambah yang surat itu adalah jawapan diterimanya daripada peguam negara.
“Selepas mempertimbangkan kertas siasatan (IP) lengkap ini adalah keputusan yang diminta pendakwaan supaya saya hantar. Semua butiran (lain), saya tidak ada akses kepada maklumat itu,” katanya.
Minggu lepas, Agamam Ani menghantar memorandum kedua kepada AGC kerana kegagalan agensi itu mendakwa Zamri.
Ketua Agamam Ani Arun Dorasamy berkata mereka mahu AGC mendakwa Zamri kerana ceramah diberinya di sebuah masjid di Kelantan, Disember lepas yang didakwa menghina agama Hindu.
Bercakap kepada The Malaysian Insight hari ini, Arun berkata beliau kecewa dan terhina dengan keputusan AGC itu.
“Apa yang saya hendak beritahu kepada ribuan aduan tentang keputusan ini? Beritahu mereka tidak ada penghinaan dan AGC tidak boleh mendakwanya (Zamri)?
“Video selama 1 minit 37 saat itu secara terbuka menghina Hindu. Inilah sebabnya ramai orang pergi ke balai polis. Jadi, tidak cukupkah untuk mendakwa Zamri Vinoth?”
Arun menambah yang isu itu mungkin ditangani dengan cara berbeza oleh AGC sekiranya ia melibatkan agama Islam atau orang Melayu.
“Kita lihat orang lain yang buat kenyataan jelik tentang Islam dan Melayu didakwa cepat. Malah peniaga pun dipenjara 10 tahun (kerana kenyataan jelik dalam talian),” katanya.
Arun juga bertanya sekiranya AGC ada melakukan rundingan dengan kumpulan profesional agama Hindu sebelum membuat keputusan itu.
Kumpulan itu pertama kali menghantar memorandum mendesak Zamri didakwa kepada AGC pada 5 Julai 2019. – 6 September, 2019.
Komen