CERAMAH Zakir Naik tetap diteruskan walau menteri Kabinet mendesak agar penceramah kontroversi itu tidak lagi dibenarkan mengadakan sebarang program di Malaysia.
Pembantu Zakir, Zamri Vinoth berkata mereka tidak menerima sebarang arahan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung larangan daripada mengadakan sebarang program.
Mereka juga yakin kerajaan tidak akan mengadakan sebarang sekatan kerana yakin Malaysia menjamin kebebasan untuk bersuara.
“Dari segi program-program melibatkan Zakir Naik, selagi tiada arahan rasmi, program yang telah disusun akan berjalan seperti biasa.
“Jika ada arahan pun, kita hendak tahu akta apa yang digunakan untuk menghalang Zakir Naik daripada berceramah.
“Jika tiada alasan yang kukuh, kita akan tetap teruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zakir bersama anaknya Fariq dijadualkan berceramah di program Malaysia Reverts Camp yang diadakan selama tiga hari bermula esok di Masjid Al Hussain di Kuala Perlis.
Antara program yang disusun adalah sesi soal jawab secara terbuka – “Ask Dr Zakir”.
Zamri turut mengundang semua pihak, termasuk menteri Kabinet yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Zakir untuk hadir dan mengemukakan sendiri setiap kemusykilan yang timbul.
“Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia terutamanya mereka yang tengah marah dengan Zakir Naik, sila datang dan tanya sendiri dekat beliau. Ada topik khas daripada Zakir Naik.
“Saya minta Yang Berhormat, menteri-menteri yang tidak puas hati, sila datang dan tanya sendiri apa yang mereka rasa tidak puas hati.
“Janganlah berkomunikasi hanya melalui media sahaja. Bukannya tidak boleh jumpa,” ujarnya.
Dua menteri DAP, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran semalam menuntut supaya Zakir tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan program dan mengeluarkan sebarang kenyataan.
Menteri berkenaan turut menuntut dalam mesyuarat Kabinet semalam agar Zakir tidak lagi dibenarkan menetap di Malaysia.
Zakir juga tidak hari dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti lagi di Malaysia atau membuat kenyataan yang menjejaskan hubungan kaum dan ketenteraman awam, kata menteri itu.
Pada Rabu perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan Zakir akan kekal di Malaysia kerana bimbang akan dibunuh jika dihantar pulang ke India.
Ia susulan kenyataan Zakir yang didakwa mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu kepada negara dalam ceramahnya di Kota Bharu minggu lalu.
Kenyataannya Zakir itu mencetuskan kemarahan dari masyarakat India di negara yang mahu beliau keluar dari Malaysia.
Turut mengkritik ialah Menteri Sumber Manusia, Kula Segaran berkata beliau akan membangkitkan isu tentang status penduduk tetap Zakir dalam mesyuarat Kabinet.
Selain itu Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut menyelar pendirian perdana menteri mendakwa beliau memberi ruang selamat kepada pendakwah itu. – 15 Ogos, 2019.
Komen