Pak Lah tulis prakata dalam ‘buku haram’


Sheridan Mahavera

Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menulis prakata bagi buku terbitan G25 dan dijual sejak 2015, tetapi diharamkan oleh KDN pada Jun lalu. – Gambar fail AFP, 12 Oktober, 2017.

SEBUAH buku mengenai undang-undang Islam di Malaysia yang prakatanya ditulis oleh bekas perdana menteri dan kemudian dilancarkan ahli Parlimen kanan Barisan Nasional, menjadi antara buku yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerana dikatakan “memudaratkan ketenteraman awam”.

Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, yang terkenal dengan kearifannya mengenai Islam, menulis kata-kata pendahuluan untuk buku itu, Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”, terbitan kumpulan G25.

Kumpulan G25 dianggotai bekas penjawat awam kanan, Melayu dan beragama Islam yang bersuara mengenai konflik antara undang-undang syariah dan sivil, serta mendesak reformasi tentang bagaimana pihak berkuasa agama sepatutnya berfungsi.

Buku itu, yang berada di kedai-kedai buku sejak dua tahun lalu, dilancarkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada 2015 tetapi KDN mengharamkannya pada 14 Jun lalu.

Menerusi warta kementerian, katanya buku itu memudaratkan ketenteraman awam dan menjadi kesalahan ia dicetak, dijual, diedarkan dan malah, memilikinya juga salah.

Larangan dibuat KDN itu di mana kementerian itu pernah diterajui Abdullah sendiri, membingungkan ahli G25 yang kini memohon semakan kehakiman untuk mencabar pengharaman berkenaan.

“Abdullah tidak akan menulis prakata untuk bukut itu atau terbabit dalam mana-mana kerja yang boleh memudaratkan ketenteraman awam,” kata ahli G25, Zainuddin Abdul Bahri kepada The Malaysian Insight.

“Kementerian juga tidak pernah menyatakan bahagian mana di dalam buku itu yang mereka dapati ia memudaratkan.”

Buku itu mengandungi 21 esei mengenai persilangan antara Islam, undang-undang syariah, perlembagaan dan politik dalam masyarakat pelbagai Malaysia.

Esei itu ditulis oleh beberapa ahli akademik dan sarjana terkemuka negara ini termasuk Prof Shad Saleem Faruqi, Dr Maszlee Malik, Prof Azmi Sharom, Dr Syed Faris Alatas, Dr Chandra Muzaffar dan Zainah Anwar.

Sejak Jun, kementerian mengharamkan empat lagi buku mengenai Islam dengan alasan ia mungkin “memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan” dan “mungkin mencetuskan pendapat awam”.

Mereka memasukkan dua buku esei terbitan Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II).

Turut diharamkan ialah buku terbaru penulis prolifik Melayu yang juga ahli akademik Dr Faizal Musa atau dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, bertajuk “AKU _______, MAKA AKU ADA!.

Kementerian juga mengharamkan buku penulis Turki, Mustafa Akyol bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Dalam prakatanya, Abdullah menulis buku itu mengandungi artikel mengenai Islam dalam demokrasi berperlembagaan dan ia memberi pencerahan terhadap hubungan antara agama dan Perlembagaan Persekutuan.

“... Ahli G25 bimbang tentang perkembangan terkini berkenaan pentadbiran undang-undang syariah dalam negeri ini,” tulis Abdullah.

“Konflik yang sudah lama berlaku antara mahkamah sivil dan syariah mencerminkan kekurangan kejelasan dan pemahaman terhadap kedudukan Islam dalam demokrasi berperlembagaan kita, dan membawa kepada pertikaian dan konflik di dalam dan luar mahkamah.”

Pertikaian itu mengelirukan kedua-duanya, umat Islam dan bukan Islam, dan akhirnya membawa kepada persoalan had bidang kuasa undang-undang syariah dan bagaimana pihak berkuasa agama menguatkuasakannya, tulis Abdullah.

“Jika dibiarkan tanpa diselesaikan, pertikaian itu mungkin menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam negara yang berbilang kaum dan agama.”

Abdullah berkata beliau bekerjasama rapat dengan ramai ahli G25 ketika masih berada dalam kerajaan dan mereka “berkhidmat kepada negara dengan cemerlang”.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan respons Abdullah terhadap pengharaman buku itu. – 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen