Merdeka tetapi miskin


Hadri Shah

PERNAH kita terfikir, berapa nilai sut berkilat yang membaluti tubuh manusia elit semasa mereka tenang menafikan kewujudan kemiskinan di negeri merdeka ini?

Setahun lalu, bukanlah air mata darah sesiapa melainkan kita, laju berjurai saat mendengar laporan anak-anak flat tidak mempunyai makanan sihat untuk tumbesaran.

Malah daripada laporan tersebut kita tersedu-sedan mengenangkan nasib mereka tidak bersekolah, terbantut, obes dan menjalani hidup di kawasan kotor dan berbahaya.

Selama seminggu tidur kita tidak nyenyak. Mengigau di tengah malam diusik mimpi-mimpi dahsyat tentang berita kemiskinan keluarga flat.

Namun selepas seminggu, genang air mata tidak lagi melimpah. Semuanya kerana hati kecil ini berbisik bahawa sebuah harapan sejati bakal tiba. Malaysia Baharu akan naik dari kaki langit.

Saat itu, segala penderitaan akan dibela. Segala bengkang bengkok akan diluruskan. Tiap pasang mata yang bengkak dek menangis saat perutnya membulat angin bakal diisi.

Pendapatan ayah dan ibu akan menaik; anak-anak yang selama hidup mereka kebosanan akan menikmati keriuhan alam persekolahan.

Pakaian mereka bertukar bersih dan cantik. Ada makanan sedap dalam bekal di masak si emak.

Tetapi sehingga kini, suasananya kekal sama. Kemiskinan membanjiri kawasan pekan dan kampung. Laporan demi laporan diberitakan. Dapatan, angka dan peratusan semakin meresahkan.

Sepatutnya kita tidak senang duduk. Mana mungkin seorang yang punya sekeping hati berisi kemanusiaan boleh berlari riang dalam daerah mimpi sedangkan terdapat 3 juta manusia dalam negeri merdeka ini menderita kemiskinan.

Khazanah Research Institute (KRI) melaporkan pendapatan isi rumah kurang RM2,000 membelanjakan 94.8% daripada jumlah pendapatan mereka bagi membiayai keperluan hidup.

Sebanyak 30% daripadanya digunakan bagi membereskan keperluan makan. Total baki simpanan golongan berpendapatan rendah ini cuma RM76 pada 2016 berbanding RM124 pada 2014. Iya, RM48 menurun dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah!

Manakala golongan berpendapatan tinggi cuma menggunakan 45% pendapatan mereka dengan 9.9% daripadanya untuk tujuan makan; lebihannya untuk simpanan, pelaburan untuk kekayaan masa hadapan, berbelanja untuk pendidikan yang lebih baik, pergi melancong untuk melihat kebesaran ciptaan Tuhan dan lain-lain aktiviti orang kaya lain sering lakukan.

Menurut KRI, perbezaan pendapatan antara dua golongan ini bertambah dari RM9,000 ke RM17,000.

Disebabkan jurang inilah elitis memberi pesan paling agung kepada si miskin: Bekerja keraslah kalian. Cari peluang. Siang mesti di pejabat. Petangnya menelusuri jalan raya menghantar pesanan makanan. Hari minggu ialah telur emas. Maka rajin-rajinkanlah diri.

Buatlah apa saja demi pendapatan sampingan. Moga hidupmu lebih senang sambil diaminkan imam-imam pengampu.

Tetapi di mana elitis yang pandai beri nasihat ini pada hari minggu?

Nah, mereka bersama keluarga di percutian mewah. Jika tidak di “private beach” , pasti mereka memenuhi gedung-gedung membeli belah – mencari pakaian rekaan designer ternama untuk dilekap ke tubuh anak dan bini serta melantak makanan mahal memboroikan perut.

Sekian lama, kita langsung tidak jujur melawan kemiskinan. Selama 62 tahun kita kibarkan bendera tanda patriotisme.

Kita pakai songkok, baju dan seluar bercorak bendera. Kita malu tidak tonjolkan kepatriotikan. Siapa tidak?

Tetapi apa ertinya patriotik di songkok? Apa ertinya terpekik-pekik merdeka apabila kemiskinan memenjarakan?

Apa ertinya bebas sekiranya perlakuan, keputusan orang-orang atasan, elit-elit politikus masih tidak boleh dibangkang?

Apa ertinya menjadi manusia bila hati dan jiwa ini menyerupai serigala?

Sejatinya bukan kemiskinan yang kita mahu tumpaskan.

Kita lebih suka mati mempertahankan hak bangsa daripada bercakap jahatnya kemiskinan. Kita lebih bersedia parang dan tengkolok daripada menjadi agen perubahan.

Kita mahu tonjolkan sifat heroik saat berkelahi soal khat dan Jawi daripada menjadi individu membela hak si tertindas. Kita mahu dikenang sebagai patriot mempertahankan selembar bendera daripada mempertahankan kemanusiaan.

Peduli kemiskinan adalah tanda wujudnya kemanusiaan dalam hati.

Kemiskinan tidak akan terkalahkan dengan sumbangan beras dan roti. Tetapi aturan yang lebih adil dan jujurlah akan menguburkannya.

Kita punya segala sebab untuk tujuan ini.

Dari mengatur diri sendiri, menyusun masyarakat dan memperkasakan kepedulian serta mengambil bahagian untuk mengakhiri kemiskinan –  itu semuanya tanggungjawab yang dibeban ke atas kita semua.

Bukan penguasa yang memerdekakan kita, bukan kapitalisme yang menyelamatkan kita melainkan kita semula menjadi manusia sejati; merebut hidup yang lebih adil buat semua dan sentiasa berpihak kepada yang tertindas.

Jika kita gagal, seperti yang dikatakan Pramoedya Ananta Toer: “Laut tetap kaya takkan kurang, cuma hati dan budi manusia semakin dangkal dan miskin”. – 3 September, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen