Pendirian Raja-Raja sudah jelas, bagaimana pula dengan Putrajaya?


Yap Pik Kuan

Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu toleransi agama hari ini menerima banyak pujian pengguna di media sosial, tetapi soal mereka sampai bila Putrajaya mahu terus berdiam diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

KETIKA pengguna media sosial memuji Raja-Raja Melayu kerana mengeluarkan pendirian tentang toleransi agama, ramai juga yang mempersoalkan tindakan berdiam diri Putrajaya dalam isu yang boleh memecah belahkan negara ini.

Majlis Raja-Raja Melayu hari ini mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Sultan Johor dan Raja Muda Perlis yang tidak membenarkan dobi hanya untuk orang Islam wujud di negeri mereka dan menjunjung tinggi toleransi, sederhana dan inklusif dalam negara pelbagai kaum ini.

Di Facebook, rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk mengecam kerajaan pemerintah atas kelemahan mereka memberikan maklum balas dalam isu yang hangat ini.

“Raja sudah jelaskan pendirian mereka. Bagaimana pula kerajaan?” tanya Lee Tai Wah.

“Apa kata anda kerajaan BN (Barisan Nasional). Mengapa Umno diam,” kata Goh Nelson.

Joshua Wijaya dan Kingsley Robson kedua-duanya mengatakan yang rakyat negara ini hidup aman damai, sebaliknya parti politiklah yang memecah belahkan negara ini.

“Rakyat sentiasa harmoni. Tapi parti politik Umno, Perkasa, PAS memisahkan rakyat untuk politik dan agama mereka,” kata Joshua.

Robson pula mengatakan,” Masalah bukan rakyat. Ia masalah pemimpin dan semua ahli politik.”

Bulan lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengecam tindakan pemilik dobi di Muar yang hanya menerima pelanggan Islam mengatakan yang negeri itu bukan “negeri Taliban”.

Di Perlis pula, Mufti Dr Mohd Asri Zainab Abidin menyiasat kejadian sama di Kangar atas arahan Raja Muda Perlis.

Perdana Menteri Najib Razak dalam kenyataannya susulan titah Sultan Ibrahim itu memuji tindakan pemilik dobi yang meminta maaf. Najib juga mengatakan yang kerajaan kekal komited dalam memperjuangkan kesederhanaan.

New Phiaw berkata kenyataan Raja-Raja Melayu itu sangat dialu-alukan dan mengharapkan ia akan membawa perubahan.

“Perkara baru. Kita akan nampak sinar dalam gelap,” tulis New.

Ann Stanley pula berharap yang Raja-Raja akan mula melibatkan diri dalam isu lain pula.

“Sudah tiba masanya Raja-Raja terlibat dalam isu lain pula,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua pengguna media sosial memberikan pujian.

Di Twitter, ada pengguna yang melihatnya sebagai petanda kembali kepada feudalisme. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen