Pemandu Grab bimbang Go-Jek rampas penumpang jarak dekat


Yeoh Cheong Ee

Go-Jek bakal memberi saingan kepada Grab sekiranya masuk ke Malaysia disebabkan seru pandu itu mampu mengelak kesesakan trafik. – Gambar EPA, 2 September, 2019.

PEMANDU Grab meluahkan kebimbangan potensi kemasukan perkhidmatan seru pandu (e-hailing) motorsikal Indonesia Go-Jek yang boleh menyebabkan mereka hilang peluang penghantaran jarak dekat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang Go-Jek mungkin lebih digemari penumpang kerana kos rendah, mudah dan lebih laju terutamanya ketika waktu puncak.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan keselamatan, terutama ketika cuaca buruk yang boleh membahayakan serta aspek gender dan jarak penunggang dan pembonceng motorsikal.

Harry Kong, seorang pemandu Grab sambilan berusia 34 tahun memberitahu The Malaysian Insight yang perkhidmatan seru pandu motorsikal akan mempercepatkan masa perjalanan terutama di waktu puncak kerana dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ia juga akan membantu mengekalkan tambang rendah dibandingkan seru pandu kereta yang caj waktu puncak meningkat kerana jalan sesak.

Tambahnya, segmen seru pandu yang sudah hebat persaingan kerana wujud My Car, bakal bertambah sengit dengan kemasukan Go-Jek.

“Perjalanan pendek selalunya melibatkan penumpang yang mahu ke stesen keretapi, atau keluar makan atau beli barang,” katanya yang bekerja tetap sebagai kerani itu.

Grab menetapkan caj minimum sebanyak RM5 untuk perjalanan dekat, tetapi pemandu boleh kehilangan aspek perjalanan itu disebabkan seru pandu motorsikal boleh menawarkan harga lebih rendah.

Grab sudah berdepan saingan My Car, kemasukan Go-Jek merisaukan pemandunya. – Gambar EPA, 2 September, 2019.

Tambahnya, pemandu Grab hanya akan mendapat insentif sekiranya upah lebih RM10, mereka juga tidak dibenarkan menolak perjalanan yang berharga RM5.

Beliau mengandaikan akan kehilangan 30% pelanggannya sebaik sahaja syarikat Indonesia itu memasuki pasaran negara.

Malah, beliau sedang mempertimbangkan sama ada akan terus memandu Grab yang dilakukannya sebagai pendapatan sampingan untuk membayar pinjaman bulanan keretanya.

Ang Soon Chong, 41, yang baharu menjadi pemandu Grab sependapat dengan Harry, yang perjalanan jarak dekat ditawarkan mereka bakal terjejas.

Bagaimanapun, Ang yang sudah setengah bulan memandu Grab, berkata perjalanan jauh mungkin tidak akan terjejas.

Beliau juga ditanya tentang isu jarak dan gender yang dikaitkan dengan Go-Jek.

“Budaya Malaysia berbeza dengan negara lain. Banyak benda perlu dielakkan. Ada agama tak benarkan lelaki dan wanita menyentuh sesama mereka. Ia situasi yang sukar untuk dielak penumpang ketika menggunakan motorsikal. Bagaimana hendak atasi isu ini?” soalnya.

Isu jarak penunggang dan pembonceng motorsikal jadi kebimbangan pihak berkuasa agama negara ini dalam seru pandu Go-Jek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2019.

Manakala, daripada aspek keselamatan, katanya, pembonceng motorsikal juga terdedah kepada risiko jenayah ragut.

Seorang lagi pemandu Grab yang tidak mahu dinamakan berkata, pemandu Grab tidak perlu risau dengan Go-Jek kerana penumpang akan mempertimbangkan kualiti pengangkutan yang ditawarkan.

“Kualiti hidup di Malaysia lebih tinggi berbanding Indonesia. Saya tak fikir penumpang akan menggadaikan keselamatan mereka hanya untuk berjimat beberapa ringgit,” katanya.

Walaupun wujud inisiatif pengangkutan awam yang sudah dilaksanakan seperti pas keretapi RM100, permintaan untuk Grab tidak terjejas, katanya.

Jochen Lee, 55, seorang lagi pemandu sambilan yang sudah bekerja selama setengah tahun bersama Grab pula masih optimis dengan kemasukan Go-Jek, menyifatkannya sebagai menyediakan pilihan dalam pasaran.

Katanya, ia akan mewujudkan persaingan sihat dan tidak bersetuju ia akan menyebabkan pemandu Grab hilang pelanggan.

Seru pandu motosikal boleh menurunkan caj waktu puncak dan mempercepatkan perjalanan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2019.

Paling utama adalah keselamatan pengguna

Della Lim, 50, seorang pengguna tetap Grab berkata, beliau tidak akan memilih Go-Jek disebabkan masalah jarak dan keselamatan.

Manakala Teo Ann Siang, 29, seorang lagi pengguna tetap Grab berkata beliau bersedia mencuba khidmat Go-Jek dalam situasi tertentu.

“Saya akan ambil (Go-Jek) kerana ia murah, terutama pada waktu puncak di Lembah Klang. Jika jarak dekat dan tidak hujan, saya akan pilih Go-Jek.”

Bagaimanapun, risiko kemalangan boleh jadi punca pengguna enggan menggunakan Go-Jek, katanya.

Ditanya tentang isu agama dan budaya, beliau mempersoalkan mengapa isu jarak penunggang lelaki dan pembonceng wanita jadi masalah. Tambahnya, Go-Jek sendiri berasal dari Indonesia yang juga negara Islam dan isu sebegitu tidak timbul.

Aspek keselamatan motosikal perlu dipertimbangkan, kerana pengangkutan itu terlibat dalam kemalangan maut tertinggi di negara ini.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2019.

Tetapi, Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid berkata melanggar hukum untuk mereka yang tidak ada kaitan keluarga menaiki motorsikal bersama-sama.

“Tidak elok lelaki dan wanita yang bukan keluarga menaiki motosikal bersama-sama. Mengapa ini dibenarkan?”

Kebimbangan keselamatan adalah salah satu isu yang perlu ditangani memandangkan kadar kemalangan motorsikal yang tinggi di negara ini.

Menurut angka dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 65.7% kemalangan maut tahun lepas melibatkan penunggang dan pembonceng motorsikal.

Daripada 6,284 yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya tahun lepas, 4,128 adalah penunggang dan pembonceng motorsikal. – 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen