Pindaan undang-undang penukaran agama Selangor ditunda, kata Anwar


Menurut beberapa peguam, pindaan undang-undang itu bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada awal tahun ini yang mengisytiharkan penukaran tiga orang anak kepada seorang guru tadika, Indira Gandhi adalah terbatal dan tidak sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2019.

PINDAAN rang undang-undang berhubung penukaran agama kanak-kanak yang menjadi kontroversi hangat di Selangor ditunda sehingga rundingan antara semua parti diadakan, kata Anwar Ibrahim

Presiden PKR itu berkata Pakatan Harapan Selangor akan berunding dengan semua parti sebelum meminda undang-undang yang akan membenarkan penukaran agama anak secara unilateral.

“Beliau (Menteri Besar Selangor Amirudin Shari) berada di sini untuk menjelaskan bahawa perkara itu telah ditangguhkan.

“Beliau juga memberikan komitmen untuk membincangkannya dengan semua parti,” kata Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam.

Anwar memberikan maklum balas terhadap soalan sama ada menteri besar Selangor telah memberi taklimat kepada majlis presiden mengenai isu undang-undang penukaran agama kanak-kanak di Selangor tersebut.

Sebelum ini, Amiruddin dilaporkan telah merancang untuk meneruskan pembentangan rang undang-undang yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur dengan kebenaran salah seorang ibu bapa.

Pada masa ini, persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan penukaran agama kanak-kanak di Selangor tetapi sebaik sahaja pindaan tersebut diluluskan, persetujuan untuk penukaran agama hanya diperlukan daripada salah seorang ibu bapa.

Bagaimanapun, sebelum Amirudin membentang rang undang-undang itu itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim telah menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri pada tarikh lain, bagi menghalang rang undang-undang itu dibentangkan.

Menurut beberapa peguam, pindaan undang-undang itu bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada awal tahun ini yang mengisytiharkan penukaran tiga orang anak kepada seorang guru tadika, Indira Gandhi adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 12 Ogos, menteri besar berkata rang undang-undang tersebut sedang disemak oleh Sultan Selangor.

“Kami akan memastikan bahawa perkara ini dibincangkan dengan teliti, kerana beberapa isu yang berkaitan dengan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, kita perlu merujuk kembali (kepada perlembagaan),” kata Amiruddin.

“Pada masa ini, Sultan Selangor juga mengkaji semula kertas itu,” katanya merujuk kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah. – 31 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen