Pengharaman SIS simbol Syariah kembali ke zaman gelap


Mohd Syazreen Abdullah

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Sisters in Islam (SIS) untuk mencabar fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bahawa organisasi itu menyeleweng daripada Islam menandai mundurnya pemikiran Syariah di Malaysia.

Dakwaan itu semata-mata berlandaskan SIS menyokong fahaman liberalisme dan pluralisme – fahaman yang dimomok-momokkan hingga ia sangat ditakuti golongan Melayu-Islam di negara ini.

Jelas, peristiwa yang menimpa SIS menunjukkan masa depan Syariah semakin kabur, gelap dan mengundur dan semakin ke belakang.

Di Malaysia, Syariah Islam ada acuan tersendiri. Penganut tiada kebebasan memilih corak mana yang dimahukannya; yang bersesuaian dengan kehidupan umat. Sebaliknya acuan yang ada semata-mata taklid kepada Islam anutan pemerintah. Seluas-luas Islam akhirnya jadi sempit dan disempit-sempitkan lagi.

Inilah acuan Islam yang dianuti Melayu Islam. Mereka percaya corak Syariah begini

menjadikan mereka “lebih Islam dan suci”. Kerana itu, mereka sesedap hati menyesatkan SIS kerana organisasi itu dilihat bertentangan dengan acuan mereka.

Adakah mereka faham dan menyelami dalam-dalam perjuangan SIS selama ini?

Anehnya, baik mufti mahupun organisasi agama, mereka lebih gemar membuli SIS habis-habisan kononnya mahu menegakkan kebenaran daripada kesesatan. Lebih ironi, mereka tidak pula berhempas pulas melawan amalan patriarki dan ketidakadilan gender.

Bukankah perbuatan tersebut lebih dibenci nabi dan agama?

Namun, mufti dan agamawan liat dan segan silu untuk memfatwakan haram kepada lelaki berperangai ganas, penindas dan pembuli wanita. Mereka lebih peduli terhadap gelagat artis tidak bertudung berbanding lelaki yang membelasah wanita atau suami yang mengabai tanggungjawab rumah tangga. Wanita terus didiskriminasi.

Inikah acuan Islam yang rakyat Malaysia mahukan? 

Kerosakan inilah yang selama ini diperjuang SIS – membela wanita yang ditindas lelaki durjana. Malangnya, perjuangan mereka tidak disambut institusi agama mahupun individu agamawan sebaliknya, label sesat pula dihambur kepada mereka. Sedangkan, SIS terbukti komited memperjuang hak wanita tanpa mengira agama dan kaum. 

Malang sekali, tafsiran Islam terhadap hak wanita pada hari ini sangat sempit lagi jumud. 

Tafsiran segar

Maka, untuk keluar dari tafsiran jumud, pentafsiran segar perlu segera dikembalikan. Tafsir semula Quran dan hadis mengikut konteks sejarah dan budaya. Itupun jika kita benar-benar percaya Islam menolak penindasan wanita dan penafian hak asasi manusia termasuk dalam soal kesaksamaan dan martabat kemanusiaan. 

Justeru, SIS giat memperjuang kesamarataan lelaki dan wanita kerana keadilan dan kemaslahatan tidak bergantung kepada jenis kelamin. Jelas, dunia lebih seimbang andai kita memahami keadilan gender. Kerana lelaki dan perempuan merupakan khalifah di muka bumi. Harus dilayan sama adil, sama saksama.

Jadi, bagaimanakah sebuah organisasi yang begitu komited menyebar pesan rahmah seperti memberi kebajikan dan membela kemanusiaan terutama terhadap wanita tertindas diperlaku sebegitu keji, dihukum sesat? 

Apakah belum membumi Islam yang dipraktik organisasi tersebut ketika mereka sentiasa menghulur tangan buat insan tertindas?

Apakah agamawan terlalu jahil untuk faham Islam rahmah seperti SIS atau mungkinkah mereka memang benar-benar pekak terhadap kebenaran? 

Intipati perjuangan SIS selaras ajaran agama – menatang Islam sebagai agama rahmah terhadap mana-mana wanita. Malangnya, seribu kebaikan dan kebajikan terhadap kaum hawa tertindas tidak pula menjadi bahan bualan, sebaliknya SIS dipandang sesat kerana “tidak pakai tudung” sekaligus “dosa” itu menutupi segala kebaikan lain. Betapa kejahilan telah menutupi mata dari menyaksikan kebenaran semua itu.

Aneh sekali, kerana kita dalam pertuturan saban hari selalu mahukan Islam yang maju; Islam yang seiring peredaran zaman termasuk dalam hal martabat wanita. Namun, kita memilih jalan kegelapan iaitu zaman keterpakuan tekstual. Zaman yang memenjarakan akal dari berfikir maju demi agama. Akhirnya fatwa terhadap SIS hanyalah penerusan langkah demi langkah demi memperbodoh masyarakat dalam berfikir keagamaan yang maju.

Selesa jumud

Pemikir Islam progresif sepakat merumuskan dua tanda kejumudan Syariah dalam dunia Islam.

Pertama, berpunca daripada kelas pemerintah, mufti, agamawan yang memonopoli agama. Mereka menghalang urusan agama diperbahas. Hanya mereka sahaja kekal memegang autoriti yang layak menafsir teks agama. Hanya mereka sahaja boleh tentukan pendapat mana atau suara siapa yang selaras dengan syariat. Hanya mereka. 

Ini sikap orang bodoh dengan lagak angkuh dan sengaja tidak mahu memandaikan dirinya dengan memperalat kuasa demi kekal dalam kebodohan.

Paling ironi, mereka menghalalkan perbuatan mereka sebagai jihad dalam memelihara agama. Kononnya mereka mewakili suara Islam. Dalam soal suara Islam hanya mereka layak gemakan. Orang lain tidak. Justeru, menfatwa SIS sebagai sesat umpama kemenangan buat mereka atas nama Islam — dianggap mereka sebagai jihad akbar. Hakikatnya, itulah realiti mengapa perundangan Syariah di negara kita tidak maju-maju.

Kedua, majoriti penganut mengimani betapa sumber teks keagamaan bersifat kekal, mengikat dan tidak boleh ditambah dan diubah-ubah. Mereka kabur antara yang usul dan furu’. Hukum tetap dan yang berubah-ubah. Hukum Islam kekal memiliki superior yang tidak boleh ditandingi akal manusia kerana syariat adalah wahyu ilahi.

Mereka barangkali lupa kisah nabi dengan Muaz yang mahu ke Yaman, Bahawa nabi

menyampaikan pesan kepadanya jika suatu perkara tidak ditemukan dalam Quran dan sunah, apakah ada cara selain itu? Dengan pantas Muaz menyebut aku akan berijtihad menggunakan akal dan tidak akan menyerah. Maka, nabi membenarkan jawapan itu.

Semangat Muaz inilah yang harus diperjuang umat Islam hari ini. Ijtihad satu-satunya jalan keluar terhadap kesulitan dan kejumudan. Syariat sebagai teks dalam Quran tidak berubah, hanya syariat sebagai pemahaman terhadap Quran yang berubah. Kerana itulah kita berani mengatakan tafsiran agama berubah mengikut kesesuaian zaman.

Sikap sedemikian diteruskan SIS yang tidak berhenti-henti berwacana dan mengembalikan agenda pembaharuan Islam terhadap pandangan ulama progresif yang mahu menetapkan hukum pada zamannya. 

Malangnya, kita tidak mahu berganding kebaikan sebaliknya leka membuli dan menindas mereka.

Akhirnya, tiada siapa mahu membela intipati rahmah yang mekar dalam perjuangan SIS kerana kita lebih selesa meneruskan kehidupan dalam serba jumud hukum sambil mendabik dada merekalah pemegang panji Islam yang sebenar, selebihnya di luar kerangka Islam kepercayaan mereka – termasuk pengamal Islam progresif dilabel sesat. Masuk neraka. Syurga hanya untuk mereka – pejuang Islam jumud dan menjumudkan. 

Betapa sadis. – 29 Ogos, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen