Kos projek ECRL dijangka melebihi RM60 bilion


Sharon Tan

Perdana Menteri Najib Razak semasa menghadiri majlis pecah tanah Projek Landasan Keretapi Pantai Timur di Kuantan, Pahang. Kos bagi projek itu dijangka melonjak antara RM60 bilion hingga RM70 bilion kerana kos semasa tidak mengambil kira kos pengambilan tanah bagi laluan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

KOS bagi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan naik sedikit melebihi RM60 bilion berbanding anggaran sedia ada yang berjumlah RM55 bilion berikutan landasan berkembar sejauh 688km, kata sumber yang biasa dengan projek itu memberitahu The Malaysian Insight.

The Edge melaporkan semalam jumlah itu dijangka melonjak kepada antara RM60 bilion hingga RM70 bilion kerana kos semasa tidak mengambil kira kos pengambilan tanah untuk laluan itu, yang akan bermula dari Pelabuhan Klang di Selangor hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar ECRL (EIA) menggambarkan projek itu sebagai “landasan keretapi landasan tunggal yang dibina di atas pembentukan dua landasan”.

“Ini bermakna infrastruktur bagi landasan berkembar telah ada sejak awal. Bagaimanapun, pembinaan laluan kedua, termasuk sistem dan isyarat, tidak termasuk (dalam anggaran semasa), itu yang menyebabkan kos tambahan,” kata sumber itu.

Mengenai keperluan laluan berkembar, sumber itu berkata: “Kedua-dua EMU penumpang dan lokomotif pengangkutan beroperasi secara harian, oleh itu ia diperlukan.”

Projek itu, yang dijangka siap pada 2024, akan beroperasi sepanjang tahun, menghubungkan pantai barat dan timuar Semenanjung Malaysia.

Terdapat banyak jejambat, terutama di Terengganu dan daerah-daerah kerap banjir di Kelantan, bagi membolehkan kereta api beroperasi walaupun pada musim tengkujuh.

“ECRL tidak mahu jadualnya terjejas oleh cuaca buruk atau banjir, terutama semasa musim tengkujuh,” kata sumber itu.

Kira-kira 16.5% daripada keseluruhan laluan akan dinaikkan, melibatkan 80 jambatan dengan beberapa daripadanya lebih daripada 300m panjang.

Terdapat juga 19 terowong, sepanjang 48.5km, dengan yang terpanjang 17.8km melalui jajaran Titiwangsa.

Terowong lain dengan panjang sekitar antara 0.65km hingga 4.96km.

Sumber itu berkata ECRL dijangka akan menjalankan EIA baru kerana beberapa bahagian penjajaran sudah berubah.

“Penjajaran itu sebahagiannya berubah, dengan beberapa stesen, seperti Penarik dan Kuala Telemong di Terengganu, dikeluarkan, manakala Kerteh dijadikan stesen penuh berbanding hanya sementara.

“Terdapat juga dua stesen di bandar Pelabuhan Kuantan dan bukan satu stesen sebagaimana perancangan awal,” kata sumber itu, sambil menambah butiran lanjut akan disediakan pada tahun ini.

Sumber itu berkata laluan itu bukanlah yang paling mahal, seperti dikatakan beberapa pihak, memetik Line London Jubilee, yang menelan belanja £3.3 billion (RM18.3 bilion) bagi sejauh 16km.

“MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang bernilai RM21 bilion untuk 51km dan 31 stesen. Ia bersamaan RM411 juta bagi setiap satu kilometer.

“Laluan ECRL adalah 688km. Anggaran sebanyak RM55 bilion juga termasuk stesen dan stok pusingan. Saya fikir anda boleh membuat kesimpulan anda sendiri.”

Projek ini akan memerlukan pemerolehan 6,301.99ha tanah, di mana 46%, atau 3,390ha, dimiliki secara persendirian dan selebar hingga 8,699 lot.

Pengambilalihan itu akan dikendalikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian setiap negeri yang terlibat.

ECRL dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, Selangor, ke Wakaf Baru, Kelantan, hingga empat jam berbanding lapan hingga 12 jam.

Di bawah fasa pertama yang menyambungkan Gombak ke Wakaf Baru, akan ada 23 stesen, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Fasa kedua akan menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang, dan Wakaf Baru ke Pengkalan Kubor. – 10 Oktober, 2017.

Berita selanjutnya di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen