Kassim Ahmad tidak dapat keadilan anjuran Islam, kata Dr Mahathir


KASSIM Ahmad yang meninggal dunia hari ini, semasa hayatnya tidak mendapat keadilan seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, hanya kerana beliau dituduh kononnya membelakangkan hadis, kata Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Dr Mahathir, Kassim sama seperti pentafsir lain yang menolak hadis-hadis yang tidak sahih yang dibuat tanpa kajian yang teliti dan mendalam, menerima banyak hadis dan menolak hanya hadis yang tidak sahih.

“Bacalah tulisannya sebelum menghukumnya,” kata Dr Mahathir dalam kenyataan media, merakamkan takziah atas pemergian Kassim.

Menurut Dr Mahathir, dengan meninggalnya Kassim, orang Melayu kehilangan tokoh pemikir yang boleh memikirkan masalah yang mereka hadapi dengan mendalam, yang pemikirannya sangat tajam.

“Saya amat sedih dengan kematian kawan saya Kassim Ahmad,” katanya yang turut berdoa agar Kassim akan dirahmati Allah.

“Kita kehilangan seorang tokoh yang berani dan berpegang kepada prinsip perjuangannya walau apa pun yang terjadi kepada dirinya.”

Kassim yang meninggal dunia pada usia 84 tahun menulis banyak buku, selain esei dan puisi, terutamanya tentang Islam, sastera, falsafah dan jiwa Melayu.

Bukunya yang terkenal, Hadis: Satu Penilaian Semula yang terbit pada 1986 menyebabkan dirinya dicap sebagai anti hadis.

Dalam bukunya itu, beliau mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber perundangan, sehingga menyebabkan buku itu difatwakan haram pada 1989 dan diwartakan kemudian pada 1995. Kassim kemudian merakamkan perdebatan mengenai pemikirannya itu dalam buku Hadis: Jawapan kepada Pengkritik pada 1992.

Pemikirannya inilah yang beliau ulangi dan pertahankan dalam sebuah seminar Februari 2014 sehingga mengheretnya turun naik mahkamah sepanjang tiga tahun lalu.

Pada seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian — Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” itu, Kassim menuduh golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk menerangkan ajaran al-Quran.

Kassim dituduh oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) atas dakwaan menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan berhubung bukunya mengenai hadis itu.

Kassim ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada 26 Mac 2014. Dia dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu, yang membawa hukuman maksimum denda RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun, atau kedua-duanya.

Kassim bagaimanapun memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pendakwaan terhadapnya.

Selepas Mahkamah Rayuan pada Disember 2015 dan Mahkamah Persekutuan pada Mac 2016 memutuskan tindakan Jawi itu bercanggah dengan undang-undang, pendakwa syariah kemudian pada 7 Ogos lepas menggugurkan tuduhan terhadap Kassim.

Mahkamah Tinggi Syariah kemudian melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan tersebut.

Kassim semasa hayat pernah dituduh sebagai komunis dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada November 1976.

Kassim Ahmad meninggal dunia pada jam 10 pagi ini di Hospital Kulim pada usia 84 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

Beliau meringkuk di Kamunting selama lima tahun sebelum dibebaskan menjelang Hari Raya Aidiladha pada 30 Julai 1981 — lebih kurang dua minggu selepas Dr Mahathir jadi perdana menteri.

Kassim menulis pengalamannya dalam tahanan itu dalam buku “Universiti Kedua: Kisah Tahanan di bawah ISA”.

Dalam satu wawancara pada Februari 2014 dengan portal berita The Malaysian Insider, yang kini sudah ditutup, Kassim berkongsi cerita persahabatannya dengan Dr Mahathir.

Kassim, yang berasal dari Bukit Pinang, Jitra, berkata mereka berdua sudah lama berkawan. Dr Mahathir berasal dari Titi Gajah, tidak jauh dari kampung asal Kassim.

“Selepas dia (Dr Mahathir) dibuang dari Umno pada September 1969, saya menziarahinya di rumahnya (di Titi Gajah). Apabila dia nampak saya di pintu, dia kata, tak nampak macam komunis pun,” kata Kassim dalam wawancara itu.

Kassim dan Dr Mahathir, yang juga seniornya di Universiti Malaya di Singapura, kerap berutus surat membincangkan masalah orang Melayu ketika bekas perdana menteri itu masih seorang doktor mengendalikan sebuah klinik di Alor Setar.

Dr Mahathir juga menulis kata pengantar untuk buku Kassim dan merupakan antara segelintir orang yang mempertahankan Kassim ketika dikecam kerana pandangannya yang melawan pemikiran masyarakat. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen