Hadi maafkan Nanyang Siang Pau


Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap isu karikatur yang disiarkan di Nanyang Siang Pau sebagai kejahilan pihak tertentu memahami batas sensitiviti agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 April, 2017.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang memaafkan Nanyang Siang Pau selepas menerima surat permohonan maaf daripada ketua pengarang akhbar itu kerana menyiarkan karikatur mempersendanya berhubung isu RUU355.

Ia berlaku kerana kejahilan memahami batas sensitiviti agama yang sangat halus garisnya, kata Hadi dalam kenyataan yang disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah Daily.

“Saya melihat kerap kali batasan antara erti ‘kebebasan ekspresi’, ‘satira’ dan ‘sensitiviti masyarakat Islam’ yang sememangnya meletakkan agama sebagai satu urusan kehidupan yang terlalu mulia kadang-kala sukar dibezakan kalangan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang terdiri pelbagai latar belakang agama, keturunan, bangsa, pendidikan, dan sebagainya,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berbahasa Cina itu kerana menyiarkan karikatur dianggap menghina Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dan Hadi.

Surat yang dikeluarkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menyatakan penerbit akhbar itu mempunyai tiga hari untuk memberi jawapan kepada KDN.

Kartun bertajuk “Akta Monyet” dikatakan menggambarkan Hadi, ahli Parlimen Marang dan Pandikar seperti monyet duduk di atas pokok dilabel “Akta 355” manakala sekumpulan monyet lain berperang di bawah mereka.

Nanyang menyiarkan kartun itu pada Jumaat (8 April), sehari selepas Hadi membentangkan RUU355, rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi meningkatkan hukuman maksimum penjara, denda dan sebatan.

Sejak kartun itu disiarkan, ia membangkitkan kemarahan terutama di kalangan ahli PAS dan mengadakan bantahan di luar ibu pejabat akhbar berkenaan.

Sementara itu, Hadi turut mengajak umat Islam memaafkan akhbar berkenaan dengan harapan agar perkara sama tidak berulang lagi pada masa depan.

“Semoga dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited untuk menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat di Malaysia khususnya,” katanya.

PAS menerima surat permohonan maaf bertarikh 12 April dan juga permohonan maaf secara terbuka yang dicetak di akhbar berkenaan. – 18 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen