Kelantan negeri termiskin di Semenanjung, kata timbalan menteri


Kadar kemiskinan Kelantan menyamai purata kemiskinan peringkat nasional iaitu 0.4% namun hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

KELANTAN masih negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Mohd Radzi Md Jidin.

Radzi berkata dari segi statistik, kadar kemiskinan Kelantan menyamai purata kemiskinan peringkat nasional iaitu 0.4% namun hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan.

“Statistik kemiskinan bagi bulan Jun tahun ini menunjukkan miskin tegar di Kelantan mencatatkan 6,218 orang manakala miskin melibatkan 31,217 orang.

“Itu hakikat yang kita harus terima. Data e-Kasih juga menunjukkan rakyat Kelantan antara senarai tertinggi selain penerima tertinggi pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya kepada pemberita  sebelum berucap pada Kongres Sosioekonomi Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, hari ini.

Kongres yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, yang menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan pembangunan sosio ekonomi Kelantan.

Radzi berkata kerajaan tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam isu kemiskinan di Kelantan sebaliknya akan komited membawa negeri ini bersama arus pembangunan negara.

“Program hari ini kita mahu cari jalan untuk membawa bersama seluruh rakyat Kelantan agar dapat menikmati pembangunan. Kita tinggalkan apa yang telah lepas. Apa yang kita inginkan rakyat Kelantan rasai apa dirasai di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, Kelantan mempunyai pelbagai potensi yang boleh dimajukan dalam usaha membangunkan sosio ekonomi tempatan.

Antara kelebihan yang dimiliki Kelantan ialah modal insan yang berkemahiran terutama dari segi pertanian dan penternakan, tanah yang luas selain kebudayaan dan warisan. – Bernama, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen