Betulkan sistem banci untuk tangani politik perkauman


Zaim Ibrahim

POLITIK perkauman yang kental di Malaysia berakar umbi daripada amalan sistem banci penduduk yang mengasing rakyat mengikut kaum, kata ahli sosiologi dan antropologi, Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Sistem bancian penduduk mengikut kaum itu, yang dimulakan oleh British sejak akhir kurun ke-19 itu, sudah lapuk, katanya.

Shamsul Amri berpendapat politik perkauman tidak lagi akan popular dan akhirnya akan terhapus perlahan-lahan sekiranya sistem bancian penduduk tidak lagi mengenal pasti rakyat di negara ini mengikut kaum.

“Kategori mengikut kaum ini tidak diubah sejak 1871. Soalnya, siapa yang mengasingkan sesuatu bangsa? Melayu tetap menjadi Melayu, Cina tetap menjadi Cina dan sebagainya.

“Apabila tiada lagi perbezaan antara kaum, saya rasa kita boleh ucap selamat tinggal kepada politik perkauman.

“Jika tidak, kita akan terus berada dalam keadaan politik perkauman,” katanya semasa menyampaikan syarahan di Institut Pulau Pinang di George Town, malam tadi.

Syarahan bertajuk Bangsa Idaman: Sebuah Kupasan Mengenai Usaha Merintis Malaysia Baharu itu dianjurkan oleh Institut Pulau Pinang, sebuah badan penyelidik tajaan kerajaan Pulau Pinang, dengan kerjasama Naratif Malaysia, sebuah badan penyelidik yang meneliti isu identiti dan negara bangsa.

Shamsul Amri yakin, bancian penduduk yang tidak terikat kepada pecahan kaum secara tidak langsung akan mewujudkan Bangsa Malaysia yang dicita-citakan, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Politik perkauman di Malaysia berakar umbi daripada amalan sistem banci penduduk yang mengasingkan rakyat mengikut kaum, kata pakar sosiologi dan antropologi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

Dalam pada itu, Shamsul Amri yang banyak mengkaji tentang hubungan kaum di Malaysia mengaku tidak bimbang dengan keadaan semasa yang memberikan gambaran seolah-olah rakyat pelbagai kaum di Malaysia tidak bersatu padu.

Katanya, rakyat berbilang kaum di Malaysia bukannya bermusuhannya sebaliknya hanya tidak sependapat dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan masing-masing.

“Kita perlu ingat perbezaan pendapat ini bukan bermakna kita bermusuhan tetapi kita hanya berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata semua kaum di Malaysia seolah-olah takut dengan kedudukan masing-masing.

Namun katanya, perkara yang mereka takutkan itu bukanlah sesuatu yang nyata sebaliknya hanya berasaskan pada emosi semata-mata.

Beliau memberikan isu yang berbangkit daripada cadangan Putrajaya menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan isu pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

“Apabila bincang tentang ICERD, orang bukan Islam tanya kenapa Melayu takut sangat dengan ICERD sedangkan negara-negara Islam banyak tandatangan.

“Sama juga dengan orang Melayu (yang bertanya) kenapa orang Cina takut sangat dengan tulisan Jawi… takkan dengan huruf sahaja boleh masuk Islam,” katanya.

Zairil berkata wacana bersifat perkauman ini seolah-olah menunjukkan Malaysia Baharu tidak berbeza dengan pentadbiran kerajaan dulu.

“Isu yang diperdebatkan tidak logik. Ketakutan yang dirasai adalah tidak rasional tetapi impaknya sangat kuat,” katanya.

Dalam tempoh lebih 15 bulan lalu, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional, beberapa isu pentadbiran dan dasar kerajaan terperangkap dibahaskan sebagai isu kaum dan agama.

Selain ICERD yang dibantah kuat oleh pembangkang Umno dan PAS serta badan masyarakat hak Melayu dan Islam, kerajaan juga terpaksa menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Semasa mengumumkan keputusan Putrajaya menarik diri dari Statut Rom, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata isu itu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat apabila ada pihak tertentu cuba mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Akhir Julai lalu, keputusan kerajaan di bawah PH meneruskan dasar pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular mendapat bantahan kumpulan sokongan pendidikan.

Putrajaya membuat beberapa penyesuaian dan pindaan ke atas dasar berkenaan tetapi ia tidak juga meredakan bantahan daripada badan pendukung sekolah vernakular. – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen