Pintu Umno masih terbuka kepada PAS, kata Annuar Musa


Sheridan Mahavera

Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa berkata keputusan bekerjasama dengan PAS terpulang sepenuhnya kepada presiden parti Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

UMNO masih terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama dengan PAS termasuk bekerjasama dalam pilihan raya walaupun ditolak baru-baru ini, kata pemimpin kanan parti itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata keputusan muktamad mengenainya terpulang kepada Presiden Najib Razak.

“(Pintu) sangat terbuka, dari segi pemilihan kerjasama dengan PAS, kami telah memberikan mandat penuh kepada presiden,” kata Annuar kepada pemberita selepas sesi dialog Puteri Umno di Kuala Lumpur malam tadi.

“Jadi kita akan menunggu keputusan beliau,” kata pemimpin Umno Kelantan dan juga ahli Parlimen Ketereh itu.

“Kita menerima realiti dan bersedia untuk berkerjasama mengadakan ta’awun atau perkara yang kita rasa boleh memberi kebaikan tetapi apa bentuk itu terserah kepada presiden untuk rundingkan dan bawa kepada Majlis Tertinggi untuk kelulusan, tetapi kita sebagai ahli Majlis Tertinggi memberikan sepenuhnya mandat kepada beliau,” kata Annuar.

Beliau menambah yang sebarang bentuk kerjasama pilihan raya perlu melalui proses yang panjang dan menyeluruh bagi merapatkan jurang politik yang telah dibina selama beberapa dekad antara kedua-dua parti.

“Perlu sedikit masa bagi memposisikan mental kita kerana idea itu mungkin kelihatan aneh sekarang.

“Ia perlu melalui proses sepatutnya kerana ia bukan hubungan seperti DAP dan Bersatu,” kata Annuar merujuk kepada parti DAP yang dianggotai majoriti kaum Cina dan kaum Bumiputera dalam Bersatu yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Komen Annuar ini susulan keputusan PAS membentuk gabungan politik ketiga yang dipanggil Gagasan Sejahtera Rakyat yang akan bertanding dalam pemilihan umum.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mengumumkan yang gabungan itu akan bertanding sehingga 100 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang dengan tujuan untuk mengambil alih Putrajaya.

Pendirian terbaru parti Islam itu bermakna ia akan bertanding menentang gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Keputusan PAS datang selepas beberapa bulan percubaan daripada Umno untuk bekerjasama dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama termasuk semasa pilihan raya umum.

Annuar berkata malam tadi, ramai umat Islam Melayu akan menyokong pakatan Umno-PAS.

Beliau juga mengatakan parti itu masih bersedia bekerjasama dengan PAS berhubung rang undang-undang persendiriannya untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan Syariah yang dikenali sebagai “RUU355”.

“Kita mesti duduk bersedia berbincang dan tidak membelakangkan sebarang aspek. Walaupun kita sedia bekerjasama, ia mesti melalui dua proses iaitu PAS kena menerima hakikat Umno ini adalah komponen BN dan di dalamnya ada rakan-rakan kita serta kepentingan ahli kita di Sabah. Jadi tak semestinya kita terjun saja.”

Umno pada mulanya berkata ia akan mengambil alih pembentangan RUU355 daripada PAS dan menjadikan ia sebagai inisiatif kerajaan.

Bagaimanapun, ia terpaksa mengubah rancangan selepas mendapat kecaman daripada semua parti komponennya.

Akibatnya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang meneruskannya dan membentangkan RUU355 sebagai rang undang-undang persendirian. Bagaimanapun, ia tidak bergerak di luar peringkat pembentangan.

Terdahulu dalam ucapannya semasa dialog, Annuar mengulangi dakwaan yang DAP berkuasa di dalam PH.

“Kalau Nizar (bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin) nak jadi MB boleh, tapi DAP menguasainya. Sama seperti di Selangor, Azmin boleh jadi MB tapi DAP menguasai.

“Kalau Dr Mahathir pun nak jadi perdana menteri pada umur 92 tahun, boleh, tetapi DAP adalah parti yang menguasai. Bukan siapa yang memerintah tapi siapa menguasai.”

Annuar memanggil pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang sebagai “diktator” yang kini menjadi pemimpin paling lama dalam mana-mana parti politik di Malaysia.

“Dalam umno pun presiden kita sudah tujuh kali bertukar. Kit Siang daripada dahulu sejak tahun 50-an tubuh DAP sampai sekarang masih memegang DAP. Dia diktator paling lama, lebih lama daripada Dr Mahathir.” – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen