PAS beri Najib menang mudah jika lawan 3 penjuru, kata Dr Mahathir


PAS akan memecahbelahkan musuh Barisan Nasional jika ia memaksa pertandingan tiga penjuru dengan hasrat bertanding di 80 kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2017.

PAS sering memperoleh pencapaian yang rendah apabila ia bertempur sendirian dengan Umno pada pilihan raya umum, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, sebarang keputusan dibuat parti Islam itu untuk bekerjasama dengan Umno akan mengakibatkan pertandingan tiga penjuru dan membawa bencana kepada pembangkang.

“PAS akan memecahbelahkan musuh Barisan Nasional (BN) jika ia memaksa pertandingan tiga penjuru dengan hasrat bertanding di 80 kerusi.

“PAS akan kalah dan mengheret parti pembangkang lain bersama. Dan Umno akan menang kerana pembangkang berpecah,” tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

Secara langsung PAS berusaha, membelanjakan wang yang tidak sedikit untuk memberi kemenangan kepada BN dan Najib (Razak).

“Jika dikatakan PAS di bawah pimpinan Hadi menyokong kepimpinan Najib, ia bukanlah keterlaluan. Ia memang benar,” katanya.

Dalam temu bual pada Ahad, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu Mingguan Malaysia parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Umno mengenai isu tertentu, berikutan kejayaan pembentangan RUU355 pada 6 April.

Menurut bekas perdana menteri itu, PAS tidak pernah menunjukkan prestasi yang baik apabila mereka memilih berhadapan dengan BN sendirian.

“Kemenangan tertinggi PAS di Parlimen adalah 27 apabila mereka bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) pada 1999. PAS, bagaimanapun, hanya berjaya memenangi tujuh kerusi pada 2004 apabila DAP menarik diri daripada BA.

“Pada 1978, 1982 dan 1986 pilihan raya, PAS hanya menang 5, 5, dan 1 kerusi apabila mereka berjuang sendirian,” katanya.

Dan apabila ia menyertai Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013, PAS berjaya memenangi 23 dan 21 kerusi, kata Dr Mahathir.

Beliau berkata PAS tidak akan menang lebih 15 kerusi daripada 80 kerusi yang dipertandingkan, dan walaupun PAS menyedarinya, mereka masih mahu meneruskannya.

Dr Mahathir seterusnya berkata penubuhan PAS kepada kaum Melayu sebenarnya adalah malapetaka kerana ia memecahbelahkan orang Melayu.

Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi.

Oleh kerana semua orang Melayu beragama Islam, penubuhan PAS bukan sahaja memecahbelahkan orang Melayu tetapi juga memecahbelahkan orang Islam.

“Demikianlah dalam usaha PAS untuk mendapat sokongan mereka sanggup mengkafirkan orang Melayu yang tidak menyertai PAS. Dengan ini gejala sosial menimpa keluarga Melayu kerana ada ahli PAS yang mengkafirkan ibu bapa mereka dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah.

“Sehingga ke hari ini pun ada tempat di mana orang Melayu tidak sembahyang bersama,” katanya. – 18 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen