Tak perlu minta maaf, Utusan tak buat salah, kata Perkasa


Mohd Farhan Darwis

UTUSAN Malaysia tidak perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia atas laporannya selama ini yang memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, kata Perkata.

Sebaliknya yang perlu minta maaf ialah pimpinan syarikat dan Umno kerana menjerumuskan Kumpulan Utusan Melayu Berhad ke dalam masalah kewangan seperti yang dihadapinya sekarang, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kumpulan Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir yang mempertahankan pendirian akhbar terbitan Utusan sebagai suara orang Melayu dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan Utusan dahulu.

“Kenapa dia (Abd Aziz) perlu minta maaf? Dari segi pengurusan, kakitangan sehingga ke jawatan ketua pengarang yang buat berita berkaitan orang Melayu tak perlu minta maaf. 

“Usaha mereka bagus dalam mendedahkan kepincangan politik negara, seperti ancaman Melayu dan Islam. Semua mereka, daripada ketua pengarang sampai kakitangan di bawah, tak perlu minta maaf,” kata Syed Hassan kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, Utusan perlu dipertahankan untuk jadi penyambung lidah orang Melayu ketika kedudukan mereka dan agama Islam dakwanya semakin ditekan.

“Kita kesal dan sedih mereka terpaksa hadapi kesukaran ini. Yang perlu minta maaf adalah pengurusan mereka, yang bertanggungjawab uruskan Utusan untuk majukan Utusan, kekalkan Utusan terus berada di pasaran.

“Merekalah yang patut minta maaf kepada orang Melayu kerana mereka gagal terutamanya mereka yang ada kuasa pada Utusan.

“Umnolah yang kena minta maaf kepada orang Melayu. Sumber maklumat orang Melayu kini terhapus, apa lagi kalau tiada Utusan,” kata Syed Hassan.

Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempertahankan pendirian akhbar terbitan Utusan sebagai suara orang Melayu dan meminta rakyat memberi peluang kepada ia memainkan peranan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019.

Tambah beliau, tindakan Abd Aziz meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan lampau akhbar terbitan syarikat itu bukan satu tindakan yang wajar.

“Kenapa nak minta maaf kepada rakyat Malaysia, rasa bersalah kepada orang Cina ke? Rasa bersalah kepada kaum lain kerana terbitan nampak berunsur perkauman? Kenapa takut perkauman? Akhbar kaum lain pun ada unsur perkauman,” katanya lagi.

Selain meminta maaf atas kesilapan lalu, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini, Abd Aziz juga meminta rakyat memberi peluang kepada Utusan untuk memainkan peranannya sebagai suara orang Melayu.

“Kita akan terus menjadi akhbar yang memperjuangkan bahasa Melayu, hak-hak orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya berlandaskan Perlembagaan bagi menjadikan Malaysia terus menjadi negara maju,” katanya.

Beliau juga meminta rakyat melihat legasi Utusan selama 80 tahun lalu, sejak bermula sebagai Utusan Melayu pada 1939, sebagai “insititusi negara yang besar jasanya kepada negara”, yang harus diberi peluang untuk terus berperanan memajukan negara bangsa.

“Maka bantulah kami dengan cara membeli suratkhabar dan melanggan,” kata Abd Aziz.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kamaruzzaman Mohamad melihat tindakan Abd Aziz meminta maaf sebagai langkah berjiwa besar yang harus dipuji.

 “Tak semua orang sanggup minta maaf sekalipun benda jelas salah. Apa yang pengerusi Utusan buat itu (minta maaf) berjiwa besar yang patut kita raikan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Selain meminta maaf atas kesilapan lalu, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini, Abd Aziz juga meminta rakyat memberi peluang kepada Utusan untuk memainkan peranannya sebagai suara orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019.

Menurut Kamaruzzaman, Utusan tidak perlu apologetik dengan agenda Melayu dan Islam dalam laporan mereka sebelum ini.

“Dia minta maaf (atas) laporan sebelum ini, dia bukan minta maaf atas laporan yang akan datang. 

“Mungkin ada laporan Utusan ketika itu tak adil yang dikeluarkan Utusan, bagi saya ia tindakan murni dan wajar diberikan sokongan,” katanya lagi.

Utusan kini berdepan krisis kewangan terburuk dalam sejarah 80 tahun penubuhannya, terbelit hutang dengan bank serta terhutang pula gaji kepada pekerja dan pampasan pemberhentian kepada bekas pekerjanya sejak beberapa bulan lalu.

Dagangan saham syarikat itu akan digantung pada 28 Ogos ini sebelum dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos.

Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam Utusan kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz.

Langkah itu menjadikan bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (2013-2018) itu sebagai pemegang saham terbesar Utusan.

Pada Julai pula, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%. – 25 Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen