Utusan terus terbit tetapi dengan harga baharu


Mohd Farhan Darwis

Kakitangan Kumpulan Utusan Malaysia Berhad menuju dewan besar di bangunan ibu pejabatnya untuk taklimat khas oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2019

AKHBAR Utusan Malaysia dan Kosmo akan terus terbit tetapi dengan harga baharu yang dinaikkan bagi menampung sebahagian kos operasinya, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Katanya, kenaikan harga sebanyak 50 sen bagi kedua-dua akhbar itu akan berkuatkuasa pada Jumaat.

Dengan harga baru itu, Utusan Malaysia mulai akhir minggu ini akan dijual pada harga RM2 sementara Kosmo RM1.50.

“Kalau nak selamatkan Utusan kita kena balik kepada model perniagaan media.

“Saya minta rakyat yang simpati kepada Utusan, bantu kita, beli surat khabar kita, iklan dengan kita.

“Saya jelaskan kita perlu masa panjang nak seimbangkan keuntungan dengan perbelanjaan,” kata Aziz ketika sidang media di pejabat Utusan di ibu negara hari ini.

Semalam, kakitangan Utusan dimaklumkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan dihentikan operasinya selepas penerbitan esok selepas syarikat tidak lagi mampu menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.

Abd Aziz sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup bersama kakitangan syarikat kira-kira sejam menjelaskan keadaan semasa syarikat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan dengan peningkatan harga itu ia dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji 800 kakitangan syarikat itu sejak Jun hingga Ogos ini.

“Daripada peningkatan keuntungan jualan, dengan kadar minimum penjualan 50,000 naskah Utusan dan 100,000 untuk Kosmo, ia akan memberikan pulangan RM2.3 juta kepada Utusan.

“Kita harap bila boleh jual surat khabar dengan harga tambahan itu kita dapat pulangan, kita juga nak tingkatkan pulangan periklanan. Selepas ini kalau kita berjaya kita dapat selesaikan masalah tunggakan gaji kakitangan,” kata Abd Aziz.

Beliau juga tidak memberi tempoh masa untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pekerja syarikat itu.

“Kakitangan sanggup berjuang untuk bawa wadah Utusan. Kita akan bayar gaji secepat mungkin apabila kita ada (hasil), ini pengorbanan kita semua,” katanya.

Abd Aziz berkata, dengan kenaikan harga itu, syarikat dijangka kembali stabil pada tahun 2020 hingga tahun 2021.

“Kalau penjualan ini jadi, kita minta pembeli lama beli, anjakan pulangan untuk iklan dan perhebatkan online, saya rasa tahun 2020 hingga 2021 kita memang akan stabil dari segi pulangan,” katanya lagi.

Beliau juga memberi jaminan akhbar syarikat itu tidak lagi terikat dari segi pemberitaan berat sebelah.

“Sejak saya datang ke sini (sebagai pengerusi eksekutif kumpulan), Umno tak pernah terlibat secara terus.

“Wadah kita wadah rakyat, kita nak bantu rakyat, bila kita bawa itu seolah-olah menentang kerajaan, kita bukan lidah Umno dan Umno tak pernah ganggu editorial hari ini.

“Kita bebas untuk menulis apa sahaja tapi mesti bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, urusan jual beli saham syarikat Utusan akan digantung bermula 28 Ogos dan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah Utusan memaklumkan kepada Bursa Malaysia mereka tidak pasti kumpulan itu dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.

Saham Utusan di Bursa Malaysia dibuka pada 0.09 sen pagi ini dan ditutup pada 0.07 sen pukul 5 petang tadi.

Mengulas perkara itu, Abd Aziz berkata penyahsenaraian syarikat berkenaan tidak akan menjejaskan mereka.

“Tiada kesan kepada perniagaan, kita ada masalah sama, saya tak nampak keluar daripada Bursa akan ada masalah kepada kita.

“Berita semalam kata Utusan nak tutup itu beri masalah kepada kita, itu kita nak pulihkan,” katanya. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen