Suruhanjaya Persaingan Malaysia siasat komplot tipu tender, lapor media


Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata siasatan melibatkan dakwaan ada pakatan sesama kontraktor semasa proses dalam 10 projek yang ditawarkan kontrak oleh kerajaan sejak 2014 sehingga tahun ini. – Gambar Bernama, 25 Ogos, 2019.

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kerana penyelewengan semasa proses tender, lapor BH Ahad.

Siasatan melibatkan dakwaan ada pakatan sesama kontraktor semasa proses dalam 10 projek yang ditawarkan kontrak oleh kerajaan sejak 2014 sehingga tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Kontraktor terlibat disyaki berpakat menaikkan harga tawaran lebih tinggi daripada tender yang dikeluarkan oleh kerajaan, sehingga menyebabkan kerugian kos yang ditanggung rakyat, kata laporan itu.

“Contohnya, jika kerajaan mengeluarkan tender air mineral bernilai RM5 juta yang ditetapkan berdasarkan tinjauan pasaran, akan ada 10 syarikat masuk (tender).

“Daripada senarai itu, harga yang paling rendah ditawarkan adalah RM6 juta dan paling tinggi RM10 juta. Kami siasat kenapa tawarkan harga terlalu tinggi.

“Kita dapati, 10 syarikat itu berpakai meletakkan harga RM6 hingga RM10 juta,” kata Iskandar, seperti dipetik BH Ahad.

Katanya, mana-mana syarikat yang menang tender akan mengagihkan keuntungan bersama syarikat lain.

Iskandar juga berkata komplot itu biasanya meletakkan harga 20-30% lebih mahal daripada harga tender yang dibuka.

Beliau juga dipetik berkata komplot itu sukar dibuktikan kerana pakatan licik syarikat yang terlibat, yang sesetengahnya melibatkan individu sama yang memiliki beberapa syarikat.

Sementara itu, BH Ahad juga memetik kontraktor yang enggan dinamakan yang mengakui amalan itu berlaku dalam proses tawaran tender kerajaan.

Katanya, amalan itu wujud kerana persaingan sengit antara kontraktor sehingga mendorong mereka untuk membentuk pakatan kerana peluang lebih besar untuk menang bidaan tender.  – 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen