Membina masyarakat membaca


ZF Zamir

DUA tahun yang lalu saya membuat pengembaraan advencer yang pertama ke Frankfurt, Jerman untuk melihat pekan raya buku terbesar di dunia dengan mata kepala saya sendiri.

Saya hanya membeli tiket kurang dari sebulan sebelum tarikh bermulanya pekan raya tersebut. Saya hanya menempah katil di sebuah hostel tidak jauh dari Frankfurt Hauptbahnhof, sekitar 200 meter dari stesen kereta api itu, sehari sebelum penerbangan ke sana.

Tiket masuk untuk sepanjang ekspo pula berharga sekitar €70. Walaupun saya datang sendirian, saya berjaya menghadiri majlis perasmian dengan bantuan seorang teman rapat, yang pada ketika itu menonjolkan Indonesia sebagai tetamu kehormat pekan raya buku edisi 2015. Delegasi Indonesia pada ketika itu diketuai Goenawan Mohamad.

Majlis perasmiannya dijalankan dalam bahasa Indonesia, dengan setiap hadirin yang hadir perlu memakai alat audio untuk memahami butir percakapan yang kemudiannya akan diterjemahkan pada waktu itu juga ke dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Jerman.

Saya pada ketika itu berasa bangga, kerana jauh beribu batu dari tanah air, di atas bumi Eropah yang dingin, sebuah acara rasmi dijalankan dalam Bahasa Melayu. Selain itu pekan raya buku ini sangat memberi kesan kepada diri saya, sehinggakan jarang sekali saya bergaul dengan teman senegara di pavilion Malaysia sendiri kerana terlalu menjelajah.

Setiap dewannya lebih kurang 10 kali ganda besarnya daripada edisi Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) yang biasa kita jalankan, dengan setiap dewan mempunyai 4 atau 5 lantai bertingkat mengikut tema. Keseluruhan pekan raya buku ini mempunyai sehingga 6 dewan.

Sebagai pembaca buku, penulis dan juga penerbit, saya tidak pernah membayangkan sebuah festival, pesta buku, sebuah acara pekan raya sebesar dan semeriah ini.

Ketika menemani seorang teman rapat ke sebuah acara sastera di Goethe University, saya sempat berkenalan dengan seorang ahli akademik, penulis dan juga sasterawan, Dr Lim Kim Hui yang sedang menjalani kursus di universiti berkenaan. Sebelum itu Dr Lim pernah berkhidmat sebagai Profesor di Jabatan Pengajian Melayu-Indonesia, Hankuk University of Foreign Studies, Seoul, Korea Selatan.

Ketika memperkenalkan diri sebagai pendiri sebuah syarikat penerbitan kecil tetapi serius, soalan pertama beliau yang saya masih ingat sehingga hari ini ketika kami sempat duduk minum dalam suasana dingin di sebuah kedai kopi kecil di celah-celah bangunan universiti dan pekan Frankfurt sebelum pulang malam itu adalah: “Boleh hidup ke terbit buku serius macam ni?”

Unit Penyelidikan Kota Buku pada 3 Mei 2017 mendedahkan, kajian interim oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati rakyat Malaysia pada tahun 2014 membaca secara purata sebanyak 15 buku setahun.

Kajian interim oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati rakyat Malaysia pada 2014 membaca secara purata sebanyak 15 buku setahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2017.

Jumlah buku yang dibaca ini merupakan peningkatan yang mendadak sebanyak 750% berbanding kajian pada 2005 iaitu “Kajian Tabiat Membaca” yang mendapati rakyat Malaysia hanya membaca sebanyak dua buku setahun, serta satu lagi kajian lebih awal yang diketuai oleh Prof Atan Long pada 1984 yang menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua muka surat saja setahun.

Malangnya, kajian ini tidak selari dengan jumlah pengunjung ke PBAKL yang saban tahun mencatatkan penurunan. Jumlah pengunjung PBAKL di PWTC pada 2015 adalah 2.5 juta. Apabila penganjurannya berpindah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 2016 pengunjungnya 2.2 juta dan angka itu semakin menurun kepada 1.8 juta pada tahun lalu ketika PBAKL dianjurkan semula di PWTC.

Jadi, apakah yang berlaku sebenarnya? Jika tabiat membaca semakin meningkat, mengapa acara pesta buku mencatatkan penurunan pengunjung? Apakah pembaca tidak membeli buku tetapi hanya membaca buku dari perpustakaan?

Jika hipotesis ini benar, ini bermakna perpustakaan melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) perlu membeli lebih banyak buku untuk memenuhi keperluan pembaca.

Malangnya pada 2016, pembelian buku oleh PNM mencatatkan penurunan iaitu hanya RM2 juta berbanding pembelian pada tahun 2015 iaitu RM5 juta. Ini bermakna, ada sesuatu yang tidak kena dengan angka-angka yang didedahkan di atas.

Apa sudah jadi?

Pertama, yang harus kita persoalkan kembali hari ini adalah apakah yang sudah berlaku dengan kempen membaca? Hari ini, kempen membaca hanya terhad kepada kempen menulis ulasan buku dalam program Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Nilam di sekolah-sekolah. Bahkan anak sekolah bukan lagi membaca buku, tetapi mereka hanya mengambil buku untuk mengisi butirannya ke dalam buku Nilam tanpa menghabiskan bacaan.

Ketika dijemput untuk menghadiri Festival Sastera Asean di Kota Tua, Jakarta pada Ogos lalu, satu pelajaran kecil yang berjaya saya amati adalah gerakan membaca di Indonesia dijalankan dengan bersungguh-sungguh dalam skala nasional membabitkan agensi kerajaan dan korporat.

Mereka mempunyai sebuah manual yang dinamakan Gerakan Literasi Sekolah, membuka gerai di festival sastera untuk membina kesedaran awam malah melantik selebriti mereka, Najwa Shihab sebagai duta baca selain melibatkan agensi seperti polis dan tentera dalam aktiviti literasi.

Hanya dengan membina semula gerakan membaca yang mampan, kita dapat memastikan anak muda kita pada hari ini benar-benar membaca buku. Cuba bayangkan jika papan-papan iklan di lebuh raya yang dipenuhi dengan papan iklan Calpis menampilkan selebriti seperti Harith Iskandar bertukar dengan papan iklan gerakan membaca oleh selebriti yang sama? Atau ruang iklan di MRT dipenuhi dengan grafik anak muda bergaya dengan buku untuk menampilkan budaya membaca sebagai budaya yang cool?

Hari ini negara kita adalah antara negara yang mempunyai kadar celik huruf tertinggi di dunia dengan 98% rakyat Malaysia boleh membaca. Malangnya membaca masih belum menjadi budaya yang boleh kita banggakan. Lebih sedih, industri buku bukanlah industri yang boleh kita banggakan untuk kita bawa keluar. Ini realiti yang menyakitkan kerana pemain industri di dalam negara sendiri tidak gembira dengan perkembangan industri ini.

Kita masih jauh untuk menetapkan sasaran penerbitan buku sebanyak 32,000 setahun selaras dengan standard Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) yang meletakkan kriteria sebuah negara maju melalui penerbitan buku yang harus berkadar satu peratus untuk setiap sejuta penduduknya.

Negara kita masih kekurangan penulis, masih kekurangan pembaca dan masih kekurangan buku.

Saya ada banyak cadangan, dan kajian yang boleh dianjurkan, tetapi akhirnya ia bergantung kepada pembuat dasar, yang hari ini duduk di atas kerusi empuk di pejabat berhawa dingin mereka.

Kita belum menggunakan sepenuhnya keazaman politik untuk menjadikan negara kita negara membaca dan bangsa kita bangsa membaca.

Awal tahun lalu ketika mempunyai urusan di Nu Sentral, saya terserempak semula dengan Dr Lim yang pulang sebentar ke Malaysia. Saya mengajaknya minum di sebuah kedai teh tarik di lantai bawah. Saya masih ingat soalan pertamanya ketika teh tarik kami sampai di meja untuk perbualan kecil yang singkat tetapi mengesankan pada petang itu: “Boleh hidup ke terbit buku serius macam ni?” – 9 Oktober, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen