Pendakwah bukan batu api tapi pendamai umat


Mohd Syazreen Abdullah

KITA banyak membuang masa melayan kerenah pendakwah yang menegakkan ego, betapa agamanya sahaja paling benar. Ternyata, mereka gagal memahami realiti kehidupan majmuk budaya dan kaum di negara ini.

Mengapa kita perlu sampai membanding-bandingkan agama mana, kepercayaan siapa paling benar? Biarpun menguasai ratusan kitab perbandingan agama sekalipun, kita tidak akan dapat menjamin ungkapan “kita paling benar, orang lain tidak benar.”

Beragamalah dengan aman dan nyaman atas keyakinan masing-masing tanpa sedikit pun mengganggu kebebasan beragama orang lain.

Hidup ini mudah. Janganlah kerana polemik agama kita sanggup meruntuhkan tiang keharmonian yang sekian lama dibina.

Aku agamaku, engkau agamamu. Jelas. Mudah. Betapa harmoni.

Kita hari ini suka menggoncangkan ketenteraman dengan bilah keegoan atas kejahilan diri sendiri. Sikap perasan mahu menjadi nabi amat bahaya. Kononnya nabi berdakwah dengan menghancurkan berhala dan mengajak orang kepada agama Islam.

Apakah pendakwah radikal sebegini benar-benar faham cara nabi berdakwah?

Dakwah nabi bukan mengajak orang tukar agama. Berdakwah bukan sampai perlu membuka kitab kita semata-mata mahu mencela agama orang. Sebaliknya, berdakwah adalah mempamerkan seribu satu kebaikan. Bukan menyalakan api perkauman atas nama agama.

Pendakwah sebenarnya pendamai. Bukan batu api antara kaum dan agama. Kuncinya, jangan perasan kita paling benar, orang lain tidak benar. Agama mengharamkan perbuatan melaga-lagakan sentimen kaum dan kepercayaan penganut agama lain.

Dalam Islam, kebaikan memiliki sifat kedamaian, pendamai, mendamaikan serta memberi kedamaian. Semua sifat itu dimiliki oleh Nabi Muhammad. Justeru, baginda adalah kewujudan dari kedamaian. Maka, intipati ajaran Islam adalah menyempurnakan kedamaian.

Sehubungan itu, perkataan “salam” berasal daripada intipati zat-Nya yang Maha Keamanan. Demikian baginda adalah pendamai. Sikap baginda mempengaruhi tingkah laku dalam menggauli masyarakat – toleransi dan pendamai.

Zaid guris hati kaum Quraisy

Terdapat kisah terkenal antara baginda dan Zaid bin Amr yang enggan memakan makanan sembelihan penyembah berhala. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa nabi pernah bertemu dengan Zaid bin Amr di lereng Baldah. Nabi mempersila Zaid tetapi Zaid enggan memakannya.

Kemudian Zaid berkata, “Saya tidak mahu makan makanan sembelihan atas nama berhala-berhala kalian. Saya hanya mahu makan makanan sembelihan atas nama Allah”.

Zaid mencela sembelihan orang Quraisy sekali gus memperlekeh kepercayaan mereka. Beliau menyatakan kambing diciptakan Allah, yang menurunkan air dari langit untuk kambing dan menumbuhkan rumput dari bumi untuknya, kemudian kalian menyembelihnya atas nama selain Allah?

Hadis berkenaan ada berbagai-bagai interpretasi. Namun, sebahagian ahli hadis merumuskan baginda tidak makan makanan sembelihan berhala. Sebagaimana termaktub dalam al-Bukhari, baginda menolak sebungkus daging yang disembelih untuk patung. Baginda tidak pernah memakan makanan daging sembelihan berhala.

Sebaliknya, catatan Nasr Hamid Abu Zaid dalam mafhum nash mencatatkan nota pinggir iaitu “Bagaimana Allah memberi taufik kepada Zaid untuk tidak makan makanan yang disembelih atas nama berhala, dan makanan disembelih tanpa menyebut nama Allah? Sedangkan Rasulullah lebih berhak memiliki sikap utama seperti itu pada zaman jahiliah”.

Jawapannya dapat dilihat dari dua sisi. Pertama, hadis yang menceritakan nabi bertemu dengan Zaid di Baldah, kemudian makanan disuguh kepadanya. Tidak disebut nabi memakan sedikit daripada makanan tersebut. Hadis itu hanya menyatakan Zaid ketika makanan disuguh berkata, “Saya tidak memakan makanan yang disembelih tidak dengan nama Allah”.

Jawaban kedua, Zaid melakukan hal itu berdasarkan pendapatnya semata-mata bukan berlandaskan syariat sebelumnya. Sebab, syariat Nabi Ibrahim hanya melarang bangkai, tidak mengharamkan makanan yang disembelih atas nama selain Allah.

Sebahagian ahli fikah pula menyatakan, “segala sesuatu sebelum ada aturan syaraknya adalah mubah”. Catatan itu menyebut, apabila kami mengikuti pendapat ini dan berpendapat nabi makan makanan yang dipersembah untuk berhala bererti beliau melakukan suatu yang mubah dan apabila beliau tidak memakannya, maka tidak ada persoalan.

Berbalik kepada perbuatan Zaid, ia menggambarkan sikap kerasnya kerana enggan makan makanan sembelihan kaumnya yang menyembah berhala.

Tindakan berlebih-lebihan Zaid mengecilkan hati kaumnya kerana beliau memisahkan dirinya dari ruang kedamaian sosial seperti menolak makanan sembelihan mereka. Tindakan Zaid seolah-olah merendah-rendahkan kepercayaan mereka.

Sikap ini bukan anjuran nabi. Baginda mengajar secara berhikmah dan bersikap toleran dalam menyebar kedamaian kepada sesiapa jua waima penentangnya sekalipun.

Seperti tindakan nabi menyelesaikan persengketaan antara kaumnya. Nabi sesekali tidak pernah mencetuskan polemik keras walau atas apa-apa tindakan pun. Malah, nabi memberi jalan penyelesaian damai terhadap polemik pergaduhan antara ketua kaum. Antaranya peristiwa memindahkan batu Hajar Aswad ke tempatnya ketika pembinaan Kaabah.

Sikap yang ditunjukkan nabi jauh berbeza berbanding perbuatan Zaid yang bersikap bengis kerana menolak kedamaian. Bahkan sikap kedamaian Rasulullah diamalkan baginda ketika memperluas ajaran Islam ke serata pelosok.

Pemikiran kedamaian

Faktor ekonomi, politik, sosial di Jazirah Arab ketika itu pula menyumbang kepada perlunya kesatuan, bukan perpecahan. Keterbatasan sumber pencarian dan ekonomi dalam kehidupan bangsa Arab mengancam kestabilan hidup mereka. Krisis perpecahan dalam kalangan kabilah menambah lagi kekacauan.

Malah, Jazirah Arab dikelilingi kuasa-kuasa asing pada setiap penjuru. Justeru, semua faktor ini adalah ancaman yang menggugat kestabilan kehidupan bangsa-bangsa Arab. Mereka sepatutnya bersatu dan menggenggam kepercayaan erat dalam mengikat tali kesatuan demi memperkukuh kestabilan bangsa dan negara.

Sudah tentu ramuan menghidupkan ideologi kedamaian paling mustahak ketika itu mengukuhkan kestabilan ekonomi dan politik. Bukan menambah kerosakan dengan sikap ego masing-masing.

Hakikatnya, realiti di Jazirah Arab benar-benar menguji formula pegangan mereka untuk mencapai satu ideologi kedamaian seperti menganut ajaran Ibrahim/Hanif khususnya untuk mencari ramuan terbaik dalam menyelesaikan konflik ketegangan antara kaum dan agama.

Justeru, perbezaan soal keimanan bukan lagi asbab untuk kita menggadaikan keharmonian kehidupan kerana yang lebih penting – rukun keberagaman dan perpaduan.

Demikian ringkas dalam lembaran sirah seperti kisah dinukilkan pada hadis antara Zaid dan nabi. Zaid gagal menjadi seorang pendamai dalam menanggapi kaumnya dalam soal perbezaan sembelihan. Bahkan, Zaid bersikap keras di samping memperkecil kepercayaan orang lain. 

Bertepatan dengan krisis yang berlaku, tentunya ajaran kedamaian oleh baginda sangat penting saat kini, seperti yang tertera dalam hadis Zaid dan baginda.

Berbaloikah kita menggadaikan kehidupan damai lagi harmoni antara agama dan kaum semata-mata demi memuaskan ego? – 23 Ogos, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen