4 juta rakyat Malaysia hadapi masalah mental, kata Zahid


Sharon Tan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menggesa para cendekiawan dan pakar membuat rujukan dan parameter yang sesuai bagi mengukur tahap kesejahteraan psikologi rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2017.

KERAJAAN akan menubuhkan Indeks Kesejahteraan Psikologi untuk mengukur tahap kesihatan psikologi rakyat Malaysia berikutan 30% atau 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah mental. 

“Saya mencadangkan pembentukan indeks untuk mengukur tahap kesejahteraan psikologi kita,” kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan di Putrajaya, hari ini.

Beliau meminta para cendekiawan dan pakar untuk membuat rujukan dan parameter yang sesuai bagi mengukur tahap kesejahteraan psikologi rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya, Zahid berkata ia berdasarkan hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015.

“Isu mental termasuk kemurungan, penyalahgunaan bahan dan penyakit berkaitan neurologi lain,” kata Zahid.

Beliau menambah tinjauan juga mendapati punca masalah mental itu disebabkan beberapa faktor seperti tekanan kerja, hubungan, kurangnya kemahiran keibubapaan, perceraian dan keganasan rumah tangga.

“Kemahiran yang lemah dan kurangnya sokongan sosial juga memberi kesan kepada status kesihatan mental seorang individu,” kata Zahid.

Beliau menambah kerajaan menyokong segala usaha untuk membangunkan dasar dan aktiviti yang membantu membina kesejahteraan kesihatan mental di negara ini.

Beliau juga berkata perlu ada program kesedaran kesihatan mental yang berterusan dan bukan hanya pada Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

“Perlu ada program kesedaran yang berterusan supaya kita mempunyai tenaga kerja yang sihat,” kata Zahid.

Beliau juga berkata, perkhidmatan psikologi dan kaunseling perlu diperluas untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“Perkhidmatan psikologi dan kaunseling perlu disediakan untuk semua lapisan masyarakat di seluruh negara,” kata Zahid.

Beliau juga berkata perkhidmatan awam telah menubuhkan perkhidmatan sokongan untuk mencegah isu psikologi sejak 2005 melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).

Mengaitkan kesejahteraan psikologi kepada perkhidmatan awam, Zahid juga berkata beliau telah meminta kementerian masing-masing meneliti isu hutang kakitangan awam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata penjawat awam dibenarkan menggunakan sehingga 60% kadar maksimum gaji mereka untuk pembayaran balik pinjaman.

Mengenai pembangunan modal insan yang lebih baik dan berkualiti, Zahid meminta pihak swasta mencontohi perkhidmatan dari segi bayaran permulaan yang termasuk faedah dan skim gaji.

“Kami dalam perkhidmatan awam mempunyai lebih banyak keuntungan. Kami mahu skim gaji sektor swasta setanding dengan sektor awam.

“Ia memalukan jika mereka dibayar lebih rendah,” katanya. – 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen