Zakir Naik tak akan dihantar pulang, kata Dr Mahathir


SM Amin

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian tidak akan menghantar Dr Zakir Naik pulang ke negara asalnya India walaupun berdepan desakan pelbagai pihak.

Beliau menegaskan demikian hari ini ketika ditanya sama ada pendakwah yang kini disiasat polis atas kenyataan kontroversi itu akan dihantar pulang ke negara tersebut.

“Buat masa ini tiada sebarang perubahan (pendirian),” katanya ringkas dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai Kerajaan di Perbadanan Putrajaya.

Pada Ahad lalu, Dr Mahathir meminta polis menyiasat Zakir kerana syarahannya di Kota Bharu pada 8 Ogos itu menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

Jelasnya, sebagai seorang pemegang status Penduduk Tetap (PR) di negara ini, Zakir tidak boleh terlibat dalam politik di negara ini, sebaliknya menumpukan kepada syarahan agama sahaja.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian untuk tidak menghantar penceramah Dr Zakir Naik pulang ke negara asalnya India. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Ogos, 2019

Kenyataan Zakir yang mencetus kontroversi itu menyentuh penganut Hindu dan juga masyarakat keturunan Cina.

Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Zakir dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Zakir bagaimanapun mempertahankan kenyataan tersebut dan mendakwa ceramahnya disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.

Penceramah kontroversi itu kembali untuk disiasat di ibu pejabat polis Bukit Aman buat kali ketiga, hari ini.

Siasatan tersebut tertumpu kepada aduan warga India itu ke atas lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran. – 22 Ogos, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen