Tiada tindakan terhadap Azmin kerana gagal hadir mesyuarat PKR


PKR tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan gagal menghadiri beberapa mesyuarat brio politik parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

PKR tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan gagal menghadiri beberapa mesyuarat brio politik parti itu. 

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai sebab munasabah untuk mengambil tindakan terhadap Mohamed Azmin.

“Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada timbalan presiden, sebab dia tidak buat apa-apa (perkara) yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan.

“Urusan (tidak hadir mesyuarat) itu bukan urusan atau bidang Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR (Saifuddin Nasution Ismail),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini.

Ahmad ditanya mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada beberapa mesyuarat PKR, sebelum ini. 

Dalam pada itu, Ahmad berkata Lembaga Disiplin PKR tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ahmad berkata setakat ini, Biro Politik PKR berpuas hati dengan kandungan surat penjelasan kedua-dua mereka yang turut disertakan dengan permohonan maaf, berhubung kenyataan mengenai video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada 25 Julai lepas, Lembaga Disiplin menghubungi Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor dan Farhash serta beberapa anggota parti yang lain berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai isu video lucah itu yang tular di media sosial pada Jun lepas. – Bernama, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen