Lembaga disiplin terima penjelasan pengerusi PKR Perak, Selangor


LEMBAGA Disiplin PKR telah menerima penjelasan daripada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Menteri Besar Amirudin Shari selepas kedua-dua pengerusi Perak dan Selangor itu diberi surat tunjuk sebab berhubung kenyataan mereka mengenai video seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden parti.

“Saya telah terima penjelasan daripada mereka sendiri,” kata Pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kassim pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang tadi.

“Selepas berbincang dengan Biro Politik parti, kami memutuskan untuk terima penjelasan mereka.”

Tambah beliau, tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung perkara itu.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Naib Presiden PKR  Nik Nazmi Nik Ahmad dan Chang Lih Kang serta Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil.

Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden parti, Anwar Ibrahim bulan lepas ditahaan reman selama lapan hari berhubung rakaman video hubungan intim antara dua lelaki.

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengakui bahawa kedua-dua lelaki di dalam video tersebut adalah dirinya dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, juga ditahan reman selama lapan hari.

Farhash dikecam oleh beberapa pemimpin parti selepas melaung “Azmin semburit” semasa berucap pada hari beliau dibebaskan dari tahanan reman di Balai Polis Dang Wangi bulan lepas. 

“Semburit” bermaksud persetubuhan sesama lelaki.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor pula diberi surat tunjuk sebab selepas mendakwa “dalang video seks itu dilakukan oleh mereka yang lalui detik sejarah hitam”.

Azmin berulang kali menegaskan beliau bukan pelaku dalam video berkenaan. – 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen