Aidil Adha: Korban atau pesta pembunuhan haiwan?


Mohd Syazreen Abdullah

UMAT Islam di pelusuk dunia termasuk Malaysia baru sahaja menyambut Aidil Adha. Juga disebut hari raya korban. Sambutan itu menjadi ritual tahunan umat muslimin.

Namun, ada antara kita menjadikan sambutan tersebut sebagai hari yang dinanti-nanti untuk membanding-bandingkan – masjid mana paling banyak haiwan korban, misalnya. Nama penyumbang korban dipampang besar-besar, terang-terangan di papan putih masjid. Siapa paling banyak korbannya, paling besar ganjaran di sisi Tuhan.

Mungkin begitulah fikir mereka. Seolah-olah ibadat itu diukur berdasarkan bilangan haiwan yang dikorbankan. Sadis.

Perayaan Aidil Adha yang murni tujuannya kini tercemar lantaran sambutannya bagaikan pesta pembunuhan haiwan. Mereka menyambut haiwan korban dengan berteriak gamat saat menyaksikan haiwan diseret ke tempat umum, seolah-olah penyembelihan tiada ada etikanya.

Menyembelih haiwan di tempat awam, kemudian dipertontoni kepada si anak kecil yang sepatutnya diasuh mengasihi haiwan, bukan ditunjuk aksi bunuh haiwan. Proses menyembelih haiwan korban tidak lagi dilakukan secara tertutup tetapi dibuat di lokasi terbuka yang kita buka seluas-luasnya.

Demikian, kita bersorak menyaksikan haiwan rebah, bersorak sorai menonton babak haiwan terikat menendang sana sini, bergelak lucu ketika haiwan terkial-kial menuju kematian.

Tidak cukup lagi, kita rakam gambar haiwan korban dengan lumuran merah darah untuk disebar ke media sosial.

Tiada sekelumit pun rasa malu, bahkan sarat megah walau – sama ada sedar atau tidak – kita guris perasaan penganut agama lain. Cuma, jarang antara kita peduli kerana akidah mereka tidak sama dengan kita.

Hakikatnya, tindakan itu jauh tersasar dari intipati Aidil Adha. Persoalan yang lebih genting, adakah ritual menyembelih ribuan haiwan di tempat awam seakan-akan pesta dapat mewujudkan masyarakat  penyayang dan menjaminkan keharmonian alam?

Begitukah ajaran syiar agama Islam? 

Nabi Muhammad saw menekankan peri pentingnya penjagaan alam daripada kerosakan. Kata nabi, “tidak boleh merosakkan dan tidak boleh mengekalkan kerosakan.” Kita tidak boleh membiarkan budaya pembunuhan haiwan seperti ritual penyembelihan sebegitu kekal berterusan.

Rasulullah saw melarang umatnya menganiayai haiwan. Malah, baginda senantiasa memastikan hak kebajikan haiwan. Kerana itu, nabi menyuruh kita menggunakan pisau yang tajam. Hukuman takzir boleh dikenakan kepada penyembelih haiwan yang menggunakan pisau yang kurang tajam. Betapa Islam sangat menghormati hak haiwan.

Ironi, umat muslimin hari ini hanya menumpukan soal jaminan ketajaman senjata sembelihan sebagai alasan ritual tersebut harus-terus-kekal sehingga kini.

Kita absahkan hadis nabi tentang sembelihlah haiwan dengan pisau yang tajam. Sedangkan, dalam konteks maksud nabi, pedang yang tajam sangat releven dengan budaya umat pada zaman dahulu. Mereka terlatih dalam hal berpedang sehingga mampu memenggal kepala hanya sekali libas tanpa menyakiti haiwan.

Berbanding masa kini, kemajuan berbagai-bagai teknologi lebih menjamin ketidakderitaan haiwan. Makna hadis tidak semata-mata terikat pada “pisau yang tajam” sebaliknya ia menumpukan inovasi hal yang tidak memudaratkan haiwan mahupun bukan haiwan.

Justeru, setiap proses kebajikan haiwan harus dijaga rapi. Kita bimbang andainya ritual korban sembelihan sekian banyak haiwan dalam sehari tidak menjamin kebajikan haiwan. Ini mengundang mudarat lebih besar terhadap keseimbangan alam dan kehidupan haiwan.

Agama mengajar kita untuk keluar dari kemudaratan lebih besar diganti dengan inovasi yang lebih baik. Maka paling relevan hari ini adalah menggantikan korban sembelihan dengan pelaksanaan yang tidak melibatkan mudarat haiwan.

Ini kerana perubahan zaman menuntut kita lebih berinovasi. Berfikir kreatif demi manfaat lebih besar. Umat muslimin perlu menguasai fikah mengikut situasi zaman. Kerana Islam sangat menekankan usaha mewujudkan masyarakat penyayang di samping menjamin keharmonian alam.

Korban wang ringgit?

Sembelihan korban bukan ibadat seperti solat. Pelaksanaannya boleh diubah mengikut nalar dan inovasi umat. Tujuan ibadat korban ditujukan kepada kepedulian tentang kebajikan masyarakat dan orang-orang yang tidak mampu.

Keanjalan kaedah fikah sebenarnya boleh menggantikan korban haiwan dengan perkara yang lebih memberi manfaat kepada insan lain. Bertepatan intipati Aidil Adha — membantu orang susah.

Tidakkah menggantikan korban haiwan dengan wang ringgit lebih relevan pada masa kini? Bukankah lebih besar manfaatnya kepada orang susah daripada sekadar menadah agihan daging.

Dengan wang, mereka boleh menguruskan keutamaan kehidupan kepada urusan yang lebih memerlukan berbanding sekadar terima-makan daging. Aspek pendidikan misalnya. Kaedah fikah ada menyebut “al-‘amal al-muta’addi khairun min al-qashir” (kegiatan yang manfaatnya menyebar itu lebih baik daripada kegiatan yang manfaatnya terbatas).

Berada dalam kitaran ekonomi yang getir, kita harus keluar daripada kepompong tafsiran ulama silam dalam soal ibadat korban. Ritual Aidil Adha boleh digantikan dengan sedekah wang tunai.

Ibn Qudamah lewat karyanya al-Mughni menyebut Aisha pernah berkata beliau lebih suka memberikan amal dalam bentuk cincin berharga sebagai hadiah kepada warga Mekah bukannya menyembelih 1,000 haiwan.

Justeru, pertolongan secara memberi sedekah dalam bentuk tunai mungkin lebih disukai golongan fakir miskin untuk mereka berbelanja. Nyatalah, ritual haiwan korban bukan ketetapan mutlak. Bahkan, ia bukannya intipati dasar ajaran Islam. Ibadat tersebut diambil dari kisah kenabian.

Jadi, kita harus meluaskan makna korban dengan berbagai-bagai cara. Bukan terikat pada satu-satunya tafsiran.

Bertepatan makna Qurban diambil daripada kata Qurb bermaksud dekat. Sesuatu yang paling dekat dalam diri kita atau paling disayangi dipersembah untuk mendekatkan diri kepada reda Tuhan.

Justeru, Tuhan tidak menilai bentuk korban sama ada kambing, lembu, kerbau atau ayam sebaliknya ketelusan hati hamba-Nya melakukan korban demi memudahkan urusan saudara muslimnya. Sudah terang lagi bersuluh, intipati Aidil Adha adalah kasih sayang terhadap kemanusiaan.

Bahkan, Quran jelas menyebut daging dan darah haiwan korban tidak sekali-kali sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa hamba-Nya – kita.  – 16 Ogos, 2019.

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen