3 menteri gesa Dr Mahathir usir Zakir Naik


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diminta mengusir pendakwah Zakir Naik susulan kenyataannya berkenaan penganut Hindu di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

TIGA menteri hari ini menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengusir pendakwah Zakir Naik susulan kenyataannya berkenaan penganut Hindu di negara ini di Kelantan baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Kulasegaran dan Gobind berkata mereka telah menyuarakan pendirian bahawa tindakan ke atas Zakir perlu diambil. Pendakwah itu juga tidak boleh dibenarkan terus menetap di negara ini, tambah kedua-dua menteri DAP itu.

Jayakumar pula menerusi satu kenyataan lain juag berkata beliau telah membangkitkan perkara sama dalam mesyuarat Kabinet hari ini iaitu Zakir dilarang mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan.

“Perdana menteri ambil maklum kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk membuat pertimbangan dan seterusnya membuat keputusan secepat yang mungkin untuk menangani masalah ini,” kata Kulasegaran dan Gobind.

Mereka juga berkata telah menegaskan keresahan yang dibangkitkan oleh banyak pihak mengenai ceramah dan kenyataan yang dibuat pendakwah kontroversi itu yang mencetus kekacauan agama.

Menurut Kulasegaran dan Gobind, sementara menunggu keputusan perdana menteri Zakir tidak boleh dibenarkan memberi ceramah yang akan memburukkan hubungan antara kaum dan menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, Jayakumar memberi amaran kenyataan Zakir berpotensi mencetus ketegangan antara kaum dan agama serta memecahbelahkan rakyat jika ia tidak diambil peduli.

“Selama ini negara mengekalkan keharmonian melalui daling bertoleransi antara rakyat yang pelbagai kaum dan agama. Kita ini negara yang majmuk.

“Kita tak perlukan individu seperti ini yang mengeluarkan kenyataan menghasut dengan niat untuk memecahbelahkan orang Islam dan bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Pendakwah kelahiran Mumbai itu ketika satu ceramah di Kota Bharu berkata malang sekali penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding kepada perdana menteri mereka sendiri.

Penganut Hindu di India juga diberi hak yang lebih berbanding orang Islam yang membentuk majoriti penduduk di negara ini, tambah Zakir.

Zakir baru-baru ini memuji Dr Mahathir sebagai pemimpin yang boleh berani berhadapan dengan tekanan negara lain, kerana Malaysia telah memberinya status penduduk tetap walaupun India meminta beliau diekstradisi berikutan dikehendaki pihak berkuasa kerana didakwa menghasut melakukan keganasan, memberikan ucapan kebencian dan pengubahan wang haram.

Semalam Kulasegaran berkata beliau akan membangkitkan isu status penduduk tetap Zakir pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya kehadiran Zakir di Malaysia memalukan semua rakyat Malaysia dan statusnya di sini perlu disemak semula.

“Tindakannya tidak mencerminkan seseorang yang layak mendapat status penduduk tetap dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet,” kata Kulasegaran yang juga naib presiden DAP itu dalam satu kenyataan semalam.– 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen