Fahami peranan angkatan tentera, kata Chin Tong


Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong beliau telah menulis panjang lebar mengenai peranan Angkatan Tentera Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2019.

MASIH ada pihak yang salah faham mengenai peranan dan tugas angkatan tentera, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Menurut Liew, beliau telah menulis panjang lebar mengenai peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bagaimana wujud persepsi tidak betul dan salah faham orang ramai mengenai tugas ketenteraan. 

“Pada masa aman, Angkatan Tentera mempunyai peranan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi-misi antarabangsa. Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew berkata salah faham ini diperlihatkan melalui tulisan jutawan Koon Yew Yin dan kenyataan bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh mengenai ATM.

Koon di blognya mencadangkan supaya anggota tentera elok menggantikan pekerja asing di ladang-ladang Felda sebagai salah satu cara untuk menangani masalah penjawat awam yang terlalu ramai.

“Seperti yang kita ketahui, anggota tentera hanya makan dan tidur sahaja. 

“Malah kebanyakan mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. Sepatutnya mereka digunakan untuk ganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda,” tulis Koon di blognya.

Sementara Harris Salleh pula menggesa ahli Parlimen mengemukakan usul mengkaji semula peranan ATM supaya berbilion wang yang dibelanjakan kerajaan dapat digunakan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pelbagai skandal seperti skandal 1MDB.

Ini boleh dilakukan dengan hanya menggunakan beberapa aset ketenteraan bagi melindungi sempadan negara manakala lebihan peruntukan boleh digunakan untuk meningkat serta menstabilkan ekonomi luar bandar.

Liew berkata salah faham seperti ini amat dikesali.

Beliau memetik pepatah Latin, “Si vis pacem, parabellum” yang bermaksud “Jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan”. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir, tambah Liew.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar keturunan dan kelas ekonomi, sama ada awam atau tentera, untuk berusaha memahami peranan dan pengorbanan Angkatan Tentera, dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.”

Beliau turut menyeru rakyat menghayati pengorbangan anggota tentera bersempena sambutan Hari Merdeka hujung bulan ini. – 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen