Tolak vaksin langkah mundur dan tidak Islamik, kata Siti Hasmah


Sharon Tan Yasmin Ramlan

Dr Siti Hasmah berkata program imunisasi telah beri kelebihan kepada anak-anak, terbuang begitu sahaja disebabkan golongan anti imunisasi dan ibu-ibu tidak pergi ke hospital. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2017.

MENOLAK vaksin adalah sesuatu langkah mundur dan tidak Islamik, kata Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dr Siti Hasmah yang merupakan antara doktor wanita pertama di Malaya selepas menamatkan pengajiannya pada 1955 itu merujuk kepada golongan yang menolak vaksin dan perubatan di hospital.

“Kita telah dapat mengelakkan polio dengan suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin). Kita juga telah berjaya elak daripada malaria.

“Tetapi kini saya sangat sedih. Kenapa kita semakin mundur? Ia bukan satu yang Islamik apabila anda diberi peluang untuk menikmati rawatan-rawatan sebegini untuk hidup lebih lama,” katanya ketika temubual bersama The Malaysian Insight.

Wanita yang berusia 91 tahun itu turut menepis dakwaan bahawa vaksin adalah haram.

“Mereka (pengamal anti vaksin) kata sesetengah bahan-bahan (dalam vaksin) adalah haram dalam Islam. Tidak. Ia dari kambing biri-biri. Kenapa kita tak boleh fikir tentang perkara yang positif saja? Ini untuk bantu anak-anak anda terus hidup (dengan sihat),” katanya.

Isteri kepada bekas perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad itu berkata, tindak balas seperti demam selepas kanak-kanak tersebut mendapatkan vaksin adalah normal.

“Ia (vaksin) telah dikaji selama bertahun-tahun dan ia tidak bahaya. Memang, apabila kanak-kanak itu diberi vaksin, dia akan demam. Kita yang dewasa pun akan jadi macam tu juga. Itu tidak balasnya (yang normal).

Gerakan anti vaksin di internet dirujuk sebagai anti-vexxers.

Dr Siti Hasmah yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak di Kedah pada 1974 menasihatkan agar ibu bapa tidak hanya mengharapkan proses semula jadi kerana ia hanya akan memudaratkan anak mereka.

“Program imunisasi telah beri kelebihan kepada anak-anak, terbuang begitu sahaja disebabkan (golongan) anti imunisasi ini dan ibu-ibu tidak pergi ke hospital (jumpa doktor),” katanya.

Dr Siti Hasmah berkata mereka yang terlibat dalam anti vaksin dan ibu-ibu yang memilih untuk bersalin di rumah seolah-olah tidak menghargai usaha pengamal perubatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2017.

Katanya, jangan tunggu sehingga anak mereka jatuh sakit sehingga lumpuh seperti penyakit polio, kemudian terfikir untuk berjumpa dengan doktor mendapatkan rawatan atau imunisasi kerana ianya sudah terlambat.

Kementerian Kesihatan merekodkan sepanjang 6 bulan pertama tahun ini, lebih 800 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin untuk anak mereka.

Katanya, mereka yang terlibat dalam anti vaksin dan ibu-ibu yang memilih untuk bersalin di rumah seolah-olah tidak menghargai usaha pengamal perubatan.

“Bertahun-tahun saya mengajar ibu-ibu di kawasan luar bandar ketika dahulu untuk pergi ke hospital untuk melahirkan bayi mereka terutamanya pada kelahiran anak pertama, terbuang begitu sahaja.

Ini kerana menurutnya, dibimbangi akan terdapat komplikasi sewaktu proses kelahiran tersebut.

“Anda perlu diawasi oleh suami atau jururawat untuk bantu (dalam proses kelahiran),” katanya.

Perkahwinan kanak-kanak

Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai isu perkahwinan kanak-kanak yang disifatkan tidak sihat untuk kanak-kanak tersebut dan tidak bersetuju dengannya.

“Badan kanak-kanak itu tidak cukup matang untuk mengandung dan dia juga belum cukup matang (dari segi mental) untuk menguruskan bayi dia nanti. Dia tidak akan menjadi ibu yang bagus - ibu bapa yang tidak matang. Saya tak setuju dengan perkahwinan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom dalam sidang Parlimen pada Ogos lalu berkata, sejumlah 238 permohonan perkahwinan pasangan bawah umur beragama Islam diluluskan di Kuala Lumpur dari 2010 hingga tahun lalu.

Jamil berkata, angka itu daripada rekod permohonan di mahkamah syariah Kuala Lumpur.

Mengikut undang-undang had umur membolehkan lelaki dan perempuan Islam di Malaysia berkahwin ialah masing-masing 18 dan 16 tahun.

Perubatan Malaysia

Tambah Dr Siti Hasmah, negara telah menunjukkan peningkatan dari segi perubatan terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, Malaysia pernah menjadi negara keempat dalam dunia selepas Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jepun dalam mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu yang bersalin.

Katanya, kunci kejayaan kepada pancapaian ini adalah menerusi program imunisasi dan mendaftarkan bidan tradisional bagi memastikan mereka mendapat kerjasama dengan bidan yang terlatih. – 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen