Serbuan SPRM di Sabah tak bermotifkan politik, kata Zahid


Bede Hong

Operasi anti rasuah terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sabah adalah telus, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan penahanan seorang pemimpin parti pembangkang dalam operasi anti rasuah terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sabah bermotifkan politik.

“Saya percaya kita telus dalam hal ini. Ia tidak berunsurkan politik,” kata Zahid kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Petang semalam, Naib Presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony ditahan ketika hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah untuk memberi kenyataan. SPRM kini menyiasat mereka yang terlibat dalam penyelewengan berjuta-jura ringgit daripada kementerian itu.

Zahid berkata operasi semalam telah dirancang untuk beberapa waktu.

“Saya percaya kes yang melibatkan kementerian luar bandar Sabah ini berkait dengan dakwaan-dakwaan yang kita dengar sebelum ini.

“Saya harap kementerian bersedia untuk serahkan bukti serta dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan ini.”

SPRM telah menyerbu 15 lokasi di Sabah, termasuk pejabat-pejabat perniagaan dan pegawai-pegawai kementerian sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana kerajaan.

SPRM berkata setakat ini kira-kira RM180 juta wang tunai telah dirampas.

Peter adalah antara beberapa ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah yang memperoleh projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang pernah disandang oleh Presiden Warisan Shafie Apdal, menurut sumber yang memberitahu The Malaysian Insight.

Peter sebelum ini menafikan dakwaan media sosial yang dia membuat tuntutan palsu sebanyak RM42 juta ketika menjalan kerja-kerja untuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dia disiasat SPRM atas tuntutan palsu.

Zahid hari ini juga memberitahu yang SPRM harus dibenarkan menjalankan tugasnya.

“Kita mesti percaya SPRM boleh menjalankan tugasnya, iaitu memastikan projek-projek yang sepatutnya untuk rakyat adalah sebenarnya memanfaatkan mereka,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

“Projek-projek ini bukanlah untuk memanfaatkan beberapa individu tertentu, sebaliknya untuk rakyat Sabah dan Sarawak.” – 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen