Tapa: antara analog dan digital


Meor Yusof Aziddin

Buku Tapa bertajuk “12x12” ialah himpunan karya kulit album yang pernah dihasilkannya. Di Malaysia, Tapa adalah salah satu nama terkenal pereka kulit album selain allahyarham Jalil Ngah. – Gambar ITBM, 6 Oktober, 2017.

KEBANYAKAN masyarakat kita meminati muzik. Muzik yang paling sinonim dengan masyarakat kita adalah nyanyian. Selain penyanyi, kebanyakan kita tidak akan ambil tahu tentang siapa pemuzik, penerbit, pereka kulit album yang terlibat dalam album penyanyi itu.

Saya beli album Sudirman pada tahun 1980 di pasar malam di kampung saya, Bruas. Di kampung tak ada kaset original, yang ada hanya kaset cetak rompak. Judul albumnya “Lagu Anak Desa”.

Rekaan kulit albumnya sangat menarik, gambar Sudirman duduk dalam bas dengan gaya yang santai, seperti anak kampung yang berjiwa sederhana.

Sepuluh tahun kemudian barulah saya tahu yang pereka kulit album tersebut adalah Mustafa Ahmad Hidzir atau panggilan kawan-kawan, Tapa.

Saya mengenali Tapa tahun 1990, melalui kawan-kawan yang selalu melepak di Pasar Seni waktu itu, Foad dan Wan. Kami adalah peminat muzik rock , blues , pcycedelic, progresif dan jazz. Apa sahaja muzik yang pelik kami suka.

Peranan Tapa waktu itu penting sebab antara kawan-kawan, beliaulah yang paling berduit dan punya kerjaya yang baik sebagai pereka kulit album yang terkenal di tanahair. Biasanya video dan album artis-artis barat seperti Yes, Frank Zappa , Pink Floyd antaranya kita dapat melalui beliau.

Tapa mengenali muzik barat seperti Beatles dan Rolling Stones sejak umurnya 8 tahun, melalui pakciknya. Beliau sanggup turun KL dari kampungnya di Teluk Intan untuk menonton konsert Led Zeppelin di panggung wayang. Dari situ kita boleh bayangkan betapa minatnya beliau dengan muzik rock.

Jiwa yang rebel menemukan beliau dengan takdirnya tatkala menatap cover album Pink Floyd, Wish You Were Here hasil rekaan grafik Storm Thorgeson pada tahun 1975 dan sejak dari itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Kebanyakan album Pink Floyd adalah hasil dari kreativiti pereka grafik Inggeris ini termasuklah rekaan kulit album Dark Side of the Moon (1973) yang dianggap rekaan album terbaik sepanjang zaman.

38 tahun berkerjaya sebagai pereka kulit album bukanlah satu jangka masa yang pendek. Proses demi proses yang dilalui sejak rekaan pertama beliau untuk album Carefree pada tahun 1979 di usianya baru 22 tahun seusai tamat pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM kini UiTM).

Sehingga akhirnya beliau berhasrat untuk membukukan pengalaman sebagai pereka kulit album di dalam sebuah buku untuk tatapan generasi demi generasi kerana perlu diakui, Tapa adalah orang penting dalam industri muzik tanahair.

Hasrat tersebut bermula sejak 7 tahun sebelumnya lagi namun segala usahanya untuk mencari dana dalam menerbitkan bukunya menemui jalan buntu kerana tiada satu badan, baik dari kerajaan mahupun NGO yang berminat dengan idea dan hasil karyanya.

Sehinggalah pada 2015 pihak Institut dan Terjemahan Buku Malaysia (ITBM ) berminat dengan hasratnya untuk membukukan hasil karyanya yang sejumlah 300 lebih itu dalam bentuk buku walau berapa modal yang perlu mereka keluarkan.

Di tanahair kita ini, hanya 2 nama yang popular sebagai pereka kulit album, Jalil Ngah (allahyarham) dan Tapa. Jalil tidaklah aktif sangat sebagai pereka kulit album waktu itu.

Bagi Tapa, sentuhan terbaik beliau sebagai pereka kulit album adalah sewaktu menghasilkan album Sharifah Aini yang bertajuk “Malam” (1980) dan album Ramli Sarip, “Syair Timur” yang diterbitkan pada 1997.

Berkarya pada era analog memang sukar kerana kurangnya bahan rujukan berbanding masa kini. Segala-galanya berpandukan buku dan semuanya di dalam bentuk manual. Era digital hanya tiba pada penghujung tahun 80an.

Analog dan digital memanglah berbeza, namun saya lebih suka di era analog kerana seni dan kreativiti yang lebih tulin berbanding era digital.

Saya sempat meluangkan masa untuk hadir pada majlis pelancaran bukunya yang berjudul “12 x 12” di Matic Jalan Ampang pada 16 Mei 2016. – 6 Oktober, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen