Apa itu Barat?


Badrul A Bakar

SEMASA kecil, yakni semasa sekolah rendah, penulis sangat percaya segala apa yang datang dari Barat itu merbahaya dan merosakkan. Dari budaya kuning yang terserlah dalam filem dan muziknya sehinggalah kepada sistem politiknya.

Ini kemudian menjadi faktor utama mengapa sebuah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di Melaka menjadi pilihan bagi pendidikan menengah.

Teringin juga masuk maahad tahfiz atau sekolah pondok tetapi gambaran kehidupan di asrama yang konservatif dan tradisional menyebabkan SMKA dipilih.

Lagipun nawaitunya ialah ingin menjadi seorang Muslim yang moden dan moderat bila dewasa kelak.

Ini ialah era sebelum berakhirnya Perang Dingin. Zaman Glasnost dan Perestroika melanda Kesatuan Soviet. Waktu Ayatollah Rohullah Khomeini diminati kerana berani mencela Amerika Syarikat (AS) sebagai syaitan besar.

Malah, sentimen anti-Barat semakin bernodul-limfa dalam jiwa apabila Allahyarham menghukum mati penulis buku “The Satanic Verses”, Salman Rushdie yang dikatakan menghina Islam.

Penulis bersetuju dengan fatwa Faqih Negara Iran (Velayat-e-Faqih) tersebut walaupun tidak pernah membaca walau sepatah perkataan pun dari buku itu.

Permasalahannya, penulis keliru kerana Malaysia yang pada waktu itu sedang melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, baru menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa dan Bank Islam, tetapi giat pula menghantar pelajar ke negara-negara Barat, terutama ke United Kingdom (UK), AS, dan Australia.

Walaupun difahami mereka dihantar untuk mendapatkan ilmu, kemahiran, dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang, tetapi tidak gerunkah sekiranya yang dibawa pulang ialah budaya Barat yang tidak secocok dengan budaya tempatan?

Makin musykil apabila seorang kakak penulis balik daripada pengajian di London dengan bertudung. Beliau muncul di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang tanpa rambut perm, tidak berskirt pendek atau berstokin jaring ala-Madonna.

Ini membangkitkan persoalan. Ada apa dengan Barat? Namun, pertanyaan apa itu Barat terlebih dahulu perlu dijawab. Ini kerana apabila kita mengenali aktornya, barulah dapat memahami sifatnya.

Ia mustahak kerana pelbagai sistem yang digunapakai oleh Malaysia pada hari ini datangnya dari Barat seperti negara-bangsa, pilihan raya, demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, dan federalisme.

Penulis beruntung apabila kerajaan menghantar untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertiari ke sebuah universiti di Philadelphia, AS.

Walaupun Presiden Bill Clinton terpalit dengan Lewinskygate, namun penulis lebih tertarik dengan budaya liberal dan demokrasi yang mendasari budaya dan politik Amerika.

Medianya tidak berpihak, pilihan rayanya bebas dan adil, wujud pemisahan kuasa serta semak dan imbang yang berfungsi, kebebasan bersuara, berekspresi, dan hak minoriti dan imigran dilindungi.

Meskipun mempunyai pengalaman hands-on dengan peradaban Barat, kefahaman tentang apa itu Barat hanya benar-benar lengkap setelah pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Pusat Dasar dan Governans Global, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pencerahan yang lebih jitu pula timbul hasil pembacaan meluas bahan bukan fiksyen. Antara naskah paling berharga ialah buku berjudul “The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order” oleh Samuel P Huntington dan “The End of History and the Last Man” oleh Francis Fukuyama.

Ternyata istilah Barat ialah kultural dan bukan sekadar geografikal. Ia merujuk kepada negara atau masyarakat yang beragama Protestan dan Katolik. Pendek kata, ia adalah legasi Empayar Rom yang juga merupakan sebuah Kristiandom dan berakar budaya Judeo-Kristian.

Terbahaginya empayar tersebut kepada dua menyebabkan munculnya Empayar Rom Barat yang beribu kotakan Rom di Semenanjung Itali dan Rom Timur yang dikenali juga sebagai Empayar Byzantine dengan ibu kotanya di Constantinople (kini Istanbul).

Di Rom Barat, versi Kristiannya ialah Katolik. Manakala di Rom Timur, Kristiannya dikenali sebagai Ortodoks. Justeru, istilah Barat berakar dari Rom Barat.

Rom Barat dikuasai oleh Romawi sebenar. Manakala Rom Timur kaisarnya sahaja yang Romawi, sedangkan kuasa politik sebenar berada dalam tangan orang Yunani.

Pecahnya Rom Barat memunculkan pula Empayar Suci Rom yang multi-etnik. Pada awalnya dikuasai oleh orang Perancis, ia kemudiannya dikuasai oleh orang Jerman. Dari monarki sehinggalah kepada pentadbiran dan ketenteraan.

Bahagian lain Rom Barat muncul sebagai negara-bangsa yang merdeka. Ini seperti Portugal, Sepanyol, Perancis, United Kingdom, dan kerajan-kerajan kecil Itali.

Kemunculan Renaisance, Reformation, dan Enlightenment membawa kemunculan pelbagai doktrin liberal, demokrasi, dan budaya saintifik yang menjadi asas kepada budaya Barat masa kini.

Ia juga memecahkan pula dunia Katolik kepada pelbagai gereja yang memprotesnya. Maka, sebarang gereja serpihan dikenali sebagai Protestan.

Biarpun wujud perbezaan dalam pelbagai aspek ekoran perpecahan, para sarjana sepakat mengkelompokkan masyarakat Protestan bersama dengan masyarakat Katolik sebagai peradaban Barat ekoran akar budayanya datang dari induk yang sama, iaitu Rom Barat.

Pengalaman bersama sewaktu zaman hebat dalam era empayar yang bersatu dan Rom Barat, zaman pertengahan yang gelap, dan kebangkitan semula menjadikan mereka cukup berbeza daripada peradaban yang lain.

Kebanggaannya tergambar menerusi eksplorasi dunia dengan motto gold, glory, dan gospel, dan kolonialisasi dengan semangat the white man burden yang kononnya bagi membawa peradaban dan kemodenan ke bahagian lain dunia.

Lainnya mereka menjadikan the near East, iaitu Eropah yang Ortodoks juga nampak berbeza. Sebab itu Perang Dingin boleh dilihat sebagai jelmaan konflik Rom Barat dan Rom Timur. Ia bukan sekadar konflik ideologi.

Maka, Rusia yang Ortodoks dan kebetulan pewaris legal Kesatuan Soviet tidak mungkin menjadi sebahagian daripada Eropah yang sejak dulu cuba dikonsepsi mengikut acuan Barat. Kemunculan Putin menjarakkan lagi kuasa Eurasia ini dari Eropah.

Apatahlagi Kesatuan Eropah yang ada pada hari ini bagaikan jelmaan semula Empayar Suci Rom dengan Mitteleuropa (Eropah Tengah, secara spesifiknya Jerman) sebagai punca kuasa.

Jika dahulu mereka menyebarkan agama Katolik dan ajaran Protestan, kini mereka menyebarkan pula nilai-nilai sejagat yang meliputi demokrasi, tatakelola yang baik, hak asasi manusia, keselamatan insan, dan kelestarian alam.

Reaksi dunia bukan Barat berbeza-beza. Kebanyakannya mengambil sistem pilihan raya dan demokrasi pelbagai parti tetapi menolak nilai-nilainya. Paling kerap dicabuli ialah kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak asasi manusia.

Kalau di Malaysia, kalangan yang anti-Barat terutamanya Islamis menolak nilai sejagat tersebut secara semberono hanya kerana ia datang dari Barat. Mereka lebih memfokuskan kepada sekularisme dan perbezaan budaya.

Lagipun hakikat budaya Barat adalah hasil percambahan budaya Judeo-Kristian menyebabkan mereka menutup mata terhadap pelbagai persamaan di antaranya dengan Islam.

Malah, mereka pasti darah tinggi jika membaca naskah Niall Ferguson berjudul “Civilization: The Six Killer Apps of Western Power” yang menyatakan dunia Islam adalah sebahagian daripada peradaban Barat.

Hujah Ferguson, Islam adalah satu lagi agama samawi atau Ibrahimiah selain daripada Yahudi dan Kristian. Maka, ia patut tergolong dalam peradaban yang sama. Kalau moyang rasul dan tanah sucinya sama, tidak mustahil mereka menyembah tuhan yang sama.

Maka, sarannya konflik adalah di antara dunia monoteistik dengan politeistik. Dunia monoteistik cukup rencam justeru tidak mempunyai ketua walaupun AS sangat berkuasa. Manakala dunia politeistik diketuai oleh China.

Baratkah kita? – 6 Ogos, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen