Boleh pertimbang ajar kaligrafi budaya lain, kata Maszlee


Yeoh Cheong Ee

Maszlee berkata beliau turut bertemu dengan beberapa pengarang akhbar Cina untuk menjelaskan pelan memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun Empat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2019.

AJARAN kaligrafi dari budaya lain di sekolah boleh dipertimbangkan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau mengalu-alukan cadangan yang dikemukan oleh pemimpin persatuan Cina termasuk kumpulan pendesak Cina Dong Zong.

Bagaimanapun Maszlee dilihat menjawab mengenai usul untuk meletakkan seni kaligrafi itu di bawah subjek seni, sedangkan isu sekarang melibatkan pelaksanaan kaligrafi khat atau tulisan jawi sebagai sebahagian silibus Bahasa Melayu.

“Perkara ini boleh dibincangkan kerana ia melibatkan seni. Kita juga mahu menekankan tentang seni dari budaya dan etnik lain di Malaysia,” kata Maszlee.

Baru-baru ini, pemimpin persatuan Cina selain timbalan presiden Amanah Mahfuz Omar mencadangkan bentuk kaligrafi lain diajar di sekolah.

Usul itu dikemukakan ketika perdebatan mengenai langkah kementerian untuk memperkenalkan khat bermula tahun depan dalam silibus Bahasa Melayu Darjah Empat.

Perdebatan mengenai perkara itu hangat diperkatakan oleh penyokong pendidikan vernakular terutamanya kumpulan pendidikan Cina dan kalangan pemimpin DAP.

Semalam, sekumpulan Adun DAP dan pemimpin akar umbi menggesa kementerian untuk menarik semula pelan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata  pelan itu akan diteruskan kerana hanya sekumpulan kecil yang menentang seni itu.

Ajaran khat hanya melibatgkan enam muka surat dalam buku teks silibus Bahasa Melayu.

Maszlee berkata beliau turut bertemu dengan beberapa pengarang akhbar Cina untuk menjelaskan pelan memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun Empat.

“Kita berbincang secara terperinci perkara yang kami lakukan dan beberapa langkah agar ajaran khat tidak akan membebankan pelajar,” katanya. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen