Mana datang RM2 bilion, soal Mat Hasan


Mohd Farhan Darwis

RM2 bilion, mana datang? Alhamdulillah... tapi tidak benar, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

UMNO menyangkal laporan yang mendakwa parti itu memperoleh hampir RM2 bilion tahun ini melalui penjualan pegangan dalam empat syarikat tersenarai.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu bersyukur sekiranya mendapat wang sebanyak itu seperti dilaporkan The Edge tetapi dakwaan itu tidak benar.

“RM2 bilion, mana datang? Alhamdulillah… tapi tidak benar,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kluang, hari ini.

The Edge mendakwa pegangan yang dijual itu melibatkan syarikat MyEG Services Bhd, Media Prima Bhd, KUB Malaysia Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd.

Laporan itu juga menyebut, Umno menggunakan proksi dan pemegang amanah dalam urusniaga terbabit yang menyebabkan sukar untuk menentukan pegangan sebenar.

Menurut The Edge, penjualan terarkhir pada 25 Julai melibatkan satu bilion unit saham MyEG dijual pada harga RM1.65 berjumlah RM1.697 bilion.

Urusniaga terdahulu melibatkan jualan saham Media Prima berjumlah RM26.125 million pada harga RM0.475 seunit pada 11 Julai, dan pegangan syarikat sama berjumlah RM73.812 juta pada harga RM0.6 seunit pada 2 Julai.

Dua lagi urusniaga melibatkan jualan berjumlah RM121.088 juta saham KUB Malaysia pada harga RM0.68 seunit pada 1 Mac dan jualan RM6.65 juta saham Utusan Melayu pada harga RM0.19 seunit pada 8 Februari.

Jumlah berkenaan dianggarkan berjumlah RM1.92 bilion, lapor akhbar bisnes itu.– 3 Ogos, 2019.

MENYUSUL


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen