Menurut kajian, Melayu Selangor tak termakan kempen ‘undi Pakatan, undi DAP’


Zulkifli Sulong

Kempen satu undi untuk Pakatan bermakna satu undi untuk DAP yang digunakan Barisan Nasional dan PAS nampaknya masih tidak nampak kesannya. Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad terdiri daripada gabungan empat parti, DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

PENGUNDI Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar Selangor tidak termakan dengan kempen Umno dan PAS kononnya satu undi untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti bermakna satu undi untuk DAP, kata penyelidik yang membuat kajian di lapangan.

Hanya seorang daripada empat pengundi percaya dengan kempen itu, dedah kaji selidik dua pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cawangan Kuala Lumpur terhadap sampel pengundi di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Dua kawasan DUN itu ialah Hulu Klang dan Gombak Setia, dalam kawasan Parlimen Gombak yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR.

“Keputusan ini boleh mewakili sentimen politik pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar,” kata Dr Latif Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

Responden diminta memberi reaksi kepada kenyataan berikut: “Saya percaya sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya akan datang DAP akan memimpin negara ini.”

Pengundi sudah celik

Latif, bekas dekan sebuah fakulti di UTM membuat kajian itu bersama pensyarah kanan universiti itu, Dr Mazlan Ali. Ia susulan naratif kempen dua parti besar orang Melayu, Umno dan PAS sejak beberapa bulan lalu bahawa mengundi PH bermakna memberi undi kepada DAP.

“Kajian ini menunjukkan rakyat Malaysia sekarang sudah ramai yang celik pengetahuan dan tidak mudah dikaburkan oleh kempen yang semacam ini.

“Ini kerana mereka sedar pengundi Cina hanya 23%  sahaja dari penduduk Malaysia dan hanya DAP yang dipimpin oleh orang Cina sedangkan tiga parti lain dalam PH dipimpin oleh orang Melayu,” tambah beliau.

Kajian itu menunjukkan hanya 24% daripada 1,943 sampel responden termakan dengan kempen itu. Peratusan jawapan yang mereka perolehi hampir sama untuk kedua-dua kawasan DUN Hulu Klang dan Gombak Setia.

Pembangkang membentuk kerajaan negeri di Selangor sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 setelah PAS, DAP dan PKR menjalin kerjasama politik atas nama Pakatan Rakyat. Pada PRU2008 itu, DAP menang 13 kerusi DUN, PKR 15 dan PAS 8 manakalan Barisan Nasional 20.

Pada PRU2013, PAS — dengan dukungan PKR dan DAP — memperbaiki prestasinya dengan menambah 7 lagi kerusi di DUN Selangor. Keputusan akhir: PAS 15, PKR 14, DAP 15 dan BN 12.

Kerjasama politik itu kemudiannya runtuh selepas PAS berkelahi dengan DAP terutamanya berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Pakatan Rakyat yang terbentuk selepas PRU 2008 bubar dan digantikan dengan PH yang tidak disertai oleh PAS.

PAS memilih jalan sendiri, mengetuai sebuah pakatan baru Gagasan Sejahtera. Menuju pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018, PAS akan ikut sama-sama bersaing dengan BN dan PH di banyak kerusi Parlimen dan DUN termasuk di Selangor.

Kajian oleh dua ahli akademik ini dijalankan secara bersemuka, turun ke lapangan bertemu pengundi, dalam senggang masa sekitar dua bulan antara Mac hingga Mei lalu.

Daripada 1,943 responden yang mereka temui, 996 di Hulu Klang dan 947 di Gombak Setia, hanya 6.1% yang berkata amat setuju, 18.8% berkata setuju. Selebihnya,  31.2% berpendapat kenyataan itu tidak relevan, 23.7% kurang setuju manakala 20.2% tidak setuju.

DUN Hulu Klang diwakili oleh Saari Sungib manakala Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzwan, kedua-duanya wakil daripada PAS. Sebuah lagi kerusi DUN dalam kawasan itu ialah Batu Caves yang diwakili oleh Amirudin Shari dari PKR.

Dua kerusi DUN itu mempunyai jumlah 101,600 pengundi setakat Mac lalu berdasarkan daftar pemilih 2016, iaitu peningkatan lebih kurang 9,000 pengundi berbanding ketika PRU13 yang melibatkan  92,421 pengundi.

Pada pilihan raya umum yang lepas, Saari mengalahkan calon BN, Abdul Rahim Pandak Kamarudin dari Umno dengan majoriti 2,881 undi. Kawasan DUN Ulu Klang mempunyai 80% pengundi Melayu.

Hasbullah pula menang mengalahkan calon Barisan Nasional, Said Anuar Said Ahmad dari Umno dengan majoriti 1,681 undi. Kawasan DUN Gombak Setia mempunyai 77% pengundi Melayu.

Dua kawasan DUN itu dilihat kubu kuat PAS. Markas Tarbiah PAS Taman Melewar, yang pernah jadi pusat segala kegiatan parti Islam itu, terletak di pinggir kawasan pilihan raya ini sebelum tapak itu diambil alih pengurusannya oleh Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad apabila PAS berpindah ibu pejabat ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Retorik kempen

Umno dan PAS sejak kebelakangan ini meningkatkan retorik politiknya dengan naratif kempen “mengundi PH bermakna mengundi DAP” ketika PRU14 kini semakin hampir. Pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak sekarang memasuki fasa akhir mandat rakyat dan perlu mengadakan pilihan raya umum sebelum Ogos 2018.

Kempen Umno dan PAS itu juga mendakwa sekiranya PH menang PRU14 pemimpin DAP akan dilantik sebagai perdana menteri. Perlembagaan Persekutuan bagaimanapun tidak mengehadkan identiti kaum sebagai syarat layak jadi perdana menteri, biarpun secara konvensyen perdana menteri selama ini adalah pemimpin Melayu.

Naratif kempen memburukkan DAP itu kuat terdengar sepanjang Himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Pantai Teluk Jembal, Kuala Nerus, Terengganu hujung minggu lalu. Hampir semua pemimpin PAS dan jemputan daripada parti-parti lain termasuk wakil pertubuhan masyarakat yang menyokong PAS mengecam DAP dalam ucapan-ucapan mereka.

Utusan Malaysia pada 14 Ogos lalu menerbitkan sepotong berita dengan tajuk: “Undi Pakatan Harapan bermakna undi DAP”.

Laporan itu memetik ucapan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat perwakilan sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno Bahagian Rembau.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendakwa DAP akan menjadi parti paling berkuasa sekiranya pakatan pembangkang membentuk kerajaan kerana bertanding lebih banyak kerusi berbanding parti lain dalam pakatan berkenaan iaitu PKR, Amanah dan Bersatu.

“Jangan kita buat pilihan salah, kerana orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan pada PRU14 akan datang, iaitu sama ada memilih Barisan Nasional (BN) ditunjangi Umno atau pakatan pembangkang yang dikuasai DAP.

“Tidak timbul soal nak bagi undi kasihan kepada parti serpihan Melayu yang ada dalam Pakatan Harapan. Walaupun ia parti Melayu tidak mungkin dapat berdiri sendiri. Kalau pembangkang menang, DAP akan mentadbir kerajaan.

“Satu undi kita beri kepada parti serpihan itu bermakna kita mengundi DAP. Adakah kita sanggup mengundi parti yang berideologikan Malaysian Malaysia dan memperjuangkan hak sama rata dan meritokrasi,” katanya, seperti dipetik oleh Utusan Malaysia.

Laungan satu undi Pakatan bermakna satu undi DAP kerap bergema pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Nerus, Kuala Terengganu hujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

Pada 6 September lalu pula, Ketua Pemuda PAS, Mohamad Khalid Abdul Hadi dalam sebuah tulisannya melontarkan naratif yang sama.

Beliau mendakwa, DAP dibayangi oleh gerakan Evangalis Kristian yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular dan parti ideologi sosial demokrat itu sering menyemarakkan hasutan kebencian dan tuduhan terhadap usaha agama yang dibawa oleh PAS.

“Keadaan itu mendedahkan hakikat bahawa undi kepada parti di dalam (Pakatan) Harapan bermakna memberi undi kepada DAP,” katanya.

Anak Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu mendakwa DAP sebenarnya berselindung dan mempengaruhi parti-parti lain dalam PH untuk jadi proksi melaksanakan pelbagai misinya.

Dua hari kemudian, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad juga mengulangi naratif itu dalam satu kenyataan media mengkritik Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, DAP menggunakan bekas perdana menteri selama 22 tahun yang juga pernah jadi musuh politiknya untuk memenangi undi orang Melayu.

Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP minggu lalu melantik pendakwah muda, Wan Ji Wan Hussin sebagai pegawai penerangannya bagi memperbaiki imej Islam di negeri itu.

Sebagai pegawai penerangan, kata Wan Ji, antara tugas beliau ialah membetulkan kepercayaan bahawa DAP itu anti Melayu dan anti Islam — tuduhan yang selalu dilemparkan oleh musuh politiknya dan kini jadi asas naratif kempen Umno dan PAS.

“DAP ini sudah jadi karung tinju kepada musuh politik PH yang asyik menghentam pakatan ini dengan isu-isu agama,” kata exco agama Pemuda PKR itu dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight minggu lalu. – 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yang penting adakah pengundi celik di Perak, Kelantan, Kedah, Terengganu?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan