DAP parti dominan sebenar dalam pembangkang, kata setiausaha akhbar Najib


SEKARANG semakin jelas bahawa DAP ialah “parti dominan” dalam Pakatan Harapan dengan Lim Kit Siang sebagai pemimpin “de facto” yang bijak mengatur percaturan dan mencorakkan penampilan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

DAP menggunakan strategi Ali Baba dengan meletakkan pemimpin Melayu di barisan hadapan tetapi “power broker” sebenarnya berada di belakang tabir, katanya.

“Bagaimanapun, orang Melayu hari ini sudah mula menghidu taktik kotor ini kerana ia menghina kecerdasan mereka. 

“Mengapa DAP dan Kit Siang bermain silap mata ini? Ini kerana pengaruh Anwar Ibrahim ke atas Pakatan mula merosot, mereka memerlukan seorang tokoh Melayu yang baharu di barisan hadapan sebagai topeng,” kata Tengku Sariffuddin dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata DAP dan Kit Siang tahu benar orang Melayu tidak akan menyokong mereka bulat-bulat. 

Mereka tidak menaruh kepercayaan kepada pemimpin lain dalam Pakatan seperti Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) atau Mohamad Sabu (Amanah), tetapi sebaliknya memilih untuk membentuk pakatan baharu dengan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, dengan mengetahui sepenuhnya bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan bahawa partinya hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen, kata Tengku Sariffuddin lagi.

Beliau berkata keputusan DAP merestui Dr Mahathir untuk memimpin PH adalah satu penghinaan kepada PKR dan Amanah.

“DAP dan Kit Siang mengambil keputusan ini berdasarkan pengalaman dan pengaruh (Dr) Mahathir. Tetapi ini jelas hikpokrit kerana parti pembangkang melancarkan gerakan reformasi yang terang-terangan menentang (Dr) Mahathir,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata Kit Siang  menggunakan musuh lamanya dan orang yang pernah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan untuk menerajui cabaran DAP di kawasan-kawasan yang menjadi kubu orang Melayu.

“Itulah sebabnya mengapa mereka membiarkan (Dr) Mahatahir bercakap mengenai dasar. Tujuan utama DAP adalah untuk menambat hati pengundi Melayu.

“Bagi Kit Siang secara peribadi, ikatannya dengan (Dr) Mahathir bermaksud untuk memadamkan imejnya sebagai anti Melayu dan anti Islam. Tetapi apa yang Kit Siang gagal untuk faham adalah orang Melayu boleh menghidu bahawa mereka diperalatkan DAP,” katanya lagi.

Tengku Sariffuddin berkata sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa mengundi Pakatan sebenarnya mengundi DAP, bukan PKR, Amanah atau Bersatu.

“DAP adalah kuasa sebenar di belakang pembangkang. Bagaimanapun, DAP kini dalan keadaan panik kerana telah sedar bahawa orang Melayu menyedari apa yang sedang berlaku dan dalang sebenarnya ialah Kit Siang,” kata beliau. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen